Kerajaan tak patut abai Orang Asli, kata badan peguam

Kerajaan tak patut abai Orang Asli, kata badan peguam

Bar Malaysia menyeru pihak berkuasa untuk menghentikan sekatan ke perkampungan Orang Asli terbabit, dan menggesa Kelantan supaya menghentikan semua aktiviti pembalakan.

Steven-Thiru
KUALA LUMPUR: Bar Malaysia mengingatkan Putrajaya dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS akan kewajipan melindungi hak tanah Orang Asli.

Yang Dipertua Steven Thiru berkata tanggungjawab itu disebut dalam beberapa keputusan mahkamah sejak 1997.

“Adalah tidak berpatutan untuk Kerajaan Persekutuan untuk melepaskan tanggungjawabnya dengan mengatakan bahawa ia tidak mempunyai kuasa berperlembagaan terhadap perkara berkaitan dengan tanah di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Thiru berkata Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan memberikan Kerajaan Persekutuan kuasa undang-undang untuk memperoleh tanah negeri bagi keperluan persekutuan, termasuklah hal kebajikan Orang Asli.

Sebelum ini, tambahnya, Kerajaan Persekutuan pernah menggubal dan membuat polisi berkaitan dengan tanah dan sumber melalui Majlis Tanah Negara, di mana ia mempunyai kawalan dan kuasa secara “de facto”.

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mengatakan bahawa ia langsung tidak mempunyai kuasa untuk membantu Orang Asli dalam mendapatkan pengiktirafan perundangan terhadap kawasan adat mereka.”

Kenyataan Thiru itu susulan sekatan yang didirikan 200 Orang Asli Temiar yang membantah aktiviti pembalakan di hutan simpan Balah, berhampiran Gua Musang, Kelantan.

Mereka mendakwa aktiviti pembalakan itu menceroboh tanah adat Temiar.

Sekatan itu dirobohkan pembalak.

Orang Asli kemudian membuat laporan polis terhadap egen syarikat pembalak yang didakwa melakukan ugutan jenayah dan menyamar sebagai anggota polis dan pihak berkuasa.

Kerajaan Kelantan menjawab pembalakan adalah pendapatan utama negeri.

Thiru berkata laporan mengenai tindakan yang diambil oleh Kerajaan Kelantan menunjukkan mereka mahu menegaskan hak mutlak mereka untuk memberi lesen pembalakan yang termasuk kawasan yang bertindih dengan tanah adat Orang Asli.

Menurut Thiru, Orang Asli menikmati keistimewaan hak adat berhubung dengan tanah yang mereka duduki sejak turun temurun tanpa memerlukan pengiktirafan jelas secara eksekutif atau perundangan.

Tambahnya mahkamah atasan di Malaysia mengiktiraf dan berulang kali mengesahkan hak mereka sejak tahun 1997 disebabkan oleh, antara lainnya, kedudukan istimewa Orang Asli di bawah Perlembagaan  Persekutuan.

Bar Malaysia menyeru pihak berkuasa untuk menghentikan sekatan ke perkampungan Orang Asli terbabit, dan menggesa Kelantan supaya menghentikan semua aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan Orang Asli.

“Kami menyeru Kerajaan Persekututan dan Kerajaan Negeri untuk mengubah polisi mereka mengenai tanah, sumber dan alam sekitar supaya dapat menghasilkan polisi yang mampu memberikan kesan sepenuhnya terhadap keputusan mahkamah-mahkamah atasan di Malaysia dalam mengiktiraf hak adat Orang Asli terhadap tanah, kawasan dan sumber mereka. ”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.