Imigresen nafi cadang orang awam tangkap PATI

Imigresen nafi cadang orang awam tangkap PATI

Datuk Seri Mustafar Ali nafi mengeluarkan kenyataan bertajuk "Bantu tangkap PATI dapat duit" yang disiarkan di muka depan dan muka surat 20 akhbar Berita Harian hari ini.

mustafar-ali
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen menafikan laporan akhbar Berita Harian hari ini berhubung cadangan untuk memberi ganjaran kewangan kepada orang awam yang menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata cadangan atau syor sedemikian boleh menjejaskan keselamatan orang awam dan berkemungkinan mereka akan bertindak di luar batasan undang-undang.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Mustafar berkata cadangan seumpama itu juga boleh menyebabkan implikasi negatif dalam masyarakat.

“Imigresen juga menafikan kenyataan berkaitan cadangan membenarkan majikan yang memerlukan pekerja asing untuk terus datang memilih di tempat tahanan,” katanya.

Berita Harian hari ini menyiarkan berita bertajuk “Bantu tangkap PATI dapat duit” dan menurut laporan itu imigresen bercadang untuk memberikan ganjaran kewangan kepada orang awam yang membantu menangkap PATI.

Akhbar itu memetik Mustafar sebagai berkata ganjaran kewangan kepada mereka yang menangkap PATI itu adalah sebahagian usaha jabatan itu dalam memerangi majikan serta sindiket yang mendalangi penyeludupan warga asing.

Berita Harian juga melaporkan Mustafar berkata pada masa ini apabila penguat kuasa imigresen melakukan operasi termasuk di sempadan, aktiviti penyeludupan akan dihentikan seketika kerana ada penduduk tempatan yang bersubahat mendedahkan maklumat operasi itu.

Pautan

Imigresen cadang ‘bounty hunter’ tangkap PATI

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.