Memalukan, Umno sokong ‘parti kasino’, kata Guan Eng

Memalukan, Umno sokong ‘parti kasino’, kata Guan Eng

Guan Eng berkata, Umno tidak boleh lari daripada kaitan dengan PFP, kerana Zahidi adalah penasihat parti itu yang juga ahli Parlimen Umno Bahagian Padang Besar.

lim-guan-eng-casino
GEORGE TOWN:
Ia memalukan buat Umno yang mendakwa mereka adalah pejuang bangsa dan agama, kerana bersedia membantu menjadikan Pulau Pinang sebagai resort perjudian seperti Macau, kata Lim Guan Eng.

Merujuk Parti Barisan Pulau Pinang (PFP) yang berhasrat membina sebuah kasino di negeri itu, ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, Umno tidak boleh lari daripada kaitan dengan parti baru terbabit, kerana penasihat parti itu, Zahidi Zainul Abidin merupakan ahli Parlimen Umno Bahagian Padang Besar.

“Orang Pulau Pinang mempunyai pilihan jelas – Pakatan Harapan yang tidak akan menyokong pembinaan kasino atau Barisan Nasional yang pemimpinnya, khasnya pemimpin Umno bersedia menaja sebuah parti baru untuk membina kasino,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha agung DAP itu berkata, Umno perlu memohon maaf kepada penduduk Pulau Pinang kerana menyokong PFP yang hendak membina kasino di negeri itu, ketika pelancarannya pada Isnin lalu.

“Jika Umno hendak bertaubat, mereka perlu memohon maaf secara kolektif dan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli Parlimen mereka kerana bersubahat dengan parti itu menerusi aspirasinya.

“Umno juga perlu membubarkan parti itu atau berdepan risiko digelar hipokrit dan dramatis politik yang mempertaruhkan masa depan orang Pulau Pinang,” katanya.

Parti politik untuk kaum Cina di Pulau Pinang itu, menyasarkan bertanding di sekurang-kurangnya 25 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi penajanya, Lim Poh Kong dilaporkan berkata, PFP akan memohon lesen daripada kerajaan pusat untuk membina sebuah kasino khusus untuk pelancong sahaja, dengan harapan ia dapat menjana pendapatan RM3 bilion setahun.

Cubaan FMT menghubungi Zahidi bagaimanapun tidak berhasil.

Pautan:

Guan Eng bantah cadangan bina kasino di Pulau Pinang

Umno Pulau Pinang bantah cadangan bina kasino

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.