Dr Vida didakwa 32 pertuduhan, wang jaminan RM1.7 juta

Dr Vida didakwa 32 pertuduhan, wang jaminan RM1.7 juta

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM1.76 juta bagi semua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

vida
IPOH:
Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Wanita berusia 45 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Dr Vida mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta, sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM1.76 juta bagi semua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala tertuduh diwakili peguam, Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.

Vida tiba di kompleks mahkamah Ipoh kira-kira 9 pagi, tetapi prosiding hanya bermula 12.15 tengah hari sebelum ditangguhkan kira-kira 2 petang.

Sebutan semula kes pada 15 November ini.

Pautan:

Dr Vida didakwa hari ini elak cukai RM4 juta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.