Orang ramai berkumpul sokong usaha terakhir Anwar untuk bebas

Orang ramai berkumpul sokong usaha terakhir Anwar untuk bebas

Polis menutup semua pintu masuk ke mahkamah, ketika penyokong memegang sepanduk dan kain rentang mendesak Anwar dibebaskan.

anwar-ibrahim
PUTRAJAYA:
Ratusan orang berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan pagi ini, bagi menyokong cubaan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan hari ini.

Bekas ketua pembangkang itu sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Peguam Anwar dijangka menggunakan Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk semakan semula keputusan panel 5 hakim, dan akan dibenarkan mendengar semula rayuannya.

Di Putrajaya hari ini, polis menutup semua pintu masuk ke mahkamah, ketika penyokong memegang sepanduk dan kain rentang mendesak pembebasan Anwar.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dijadualkan mengetuai panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan Anwar mengetepikan sabitan liwatnya.

Dalam senarai yang diedarkan kepada media, panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin serta Tan Sri Zaharah Ibrahim, dan pihak pembelaan mungkin menolak anggota panel itu.

Ini adalah panel sama yang menolak permohonan terdahulu tahun ini untuk memanggil bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusof memberi bukti tambahan kes itu.

Minggu lalu, seorang daripada peguam Anwar, Latheefa Koya menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengecualikan 13 hakim di Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan dan perkara lain berkaitan kes salah laku seksual itu.

Pautan:

Usaha terakhir keluar penjara, Anwar kembali ke Mahkamah Persekutuan

Hanya satu cara bebaskan Anwar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.