
Beliau berkata, kakitangan perkhidmatan awam dibayar gaji tinggi, pembayaran gaji tepat pada masanya serta pelbagai elaun dan insentif, di samping mendapat kenaikan pangkat serta pencen selepas bersara daripada perkhidmatan.
Katanya, penjawat awam seharusnya merasa diri mereka beruntung berbanding pekerja sektor swasta yang tidak begitu terjamin masa depan.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga menyediakan program post graduate untuk memberi peluang kepada kakitangan berminat menyambungkan pelajaran mereka.
Dr Hilmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.
Seramai 925 graduan dari 4 institusi menerima diploma dan sijil dalam pelbagai bidang kursus.
Dr Hilmi turut berpesan kepada semua penjawat awam di bawah Kementerian Kesihatan supaya terus meningkatkan kecemerlangan mereka.
“Kita mahu terus mengekalkan perkhidmatan kesihatan kita yang sudah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia,” tambahnya.
Beliau juga mengingatkan penjawat awam di bawah Kementerian Kesihatan mengelak melibatkan diri dengan gejala negatif media sosial.
Menurut Dr Hilmi, kebanyakan bahan yang disebarkan media sosial adalah berita atau maklumat palsu, kerana faktanya tidak disahkan berbanding berita disiarkan media perdana yang terlebih dahulu mengesahkan faktanya sebelum ia disiarkan.
“Sebagai anggota kerajaan, jangan kita menjadi ejen kepada penyebaran fitnah, malah sebagai umat Islam ia adalah satu dosa. Jangan kita melakukan dosa setiap hari, lebih baik anda menumpu kepada kerjaya serta meningkatkan prestasi kerja kita untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau meminta semua penjawat awam sentiasa menjaga profesion dan nama baik kerajaan.
“Jalankan tugas anda dengan baik dan penuh berdedikasi untuk manfaat rakyat,” tambahnya.