Kronisme didakwa punca kerajaan tidak cukup wang untuk kesihatan

Kronisme didakwa punca kerajaan tidak cukup wang untuk kesihatan

Dr Jeyakumar berkata, kebanyakan peruntukan itu dibelanjakan untuk membayar harga tinggi dikenakan syarikat kroni.

jeyakumar-1
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sungai Siput menyalahkan progam penswastaan dan kronisme sebagai punca kerajaan tidak mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan mencukupi di bawah Bajet 2016.

Dr Michael Jeyakumar berkata, Kementerian Kesihatan mendapat bekalan dan perkhidmatan kesihatan daripada syarikat kroni yang biasanya mengenakan harga terlalu tinggi.

“Hampir setiap aspek dalam industri kesihatan di negara ini mempunyai syarikat kroni.

“Kami tidak membeli ubat-ubatan daripada syarikat farmaseutikal secara terus. Kami beli daripada syarikat-syarikat kroni yang akan menaikkan harga,” katanya kepada FMT.

Doktor perubatan itu mendakwa, peralatan dan buku perubatan juga dibeli daripada syarikat kroni, malah perkhidmatan dobi dan pembersihan turut diswastakan.

“Sebahagian besar bajet pergi kepada perbelanjaan tinggi kerana kami mahu membantu syarikat berkenaan mengaut keuntungan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Dr Jeyakumar berkata, syarikat kroni turut membina hospital, klinik serta melakukan pembaikan dan pengubahsuaian.

Beliau berkata, sebahagian masalah itu berpunca daripada kerajaan yang terlalu fokus untuk melahirkan usahawan bumiputera dan berusaha sedaya upaya bagi menjayakan matlamat itu.

“Tiada salahnya dengan agenda ini. Ia bukan perkara buruk. Jika anda mahu mempunyai ekonomi pasaran bebas, maka anda perlu membabitkan semua kaum dalam keusahawanan.

“Masalahnya anda menggunakan bajet diperuntukkan untuk kesihatan. Sebahagian besar daripadanya pergi kepada membentuk usahawan-usahawan ini. Ia tidak betul untuk agenda ini menyebabkan pengurangan dalam perkhidmatan kesihatan. Wujud kegagalan untuk menyedari hakikat ini.”

Beliau berkata, jika ada kemahuan politik untuk kerajaan berhenti memanjakan syarikat kroni, maka peruntukan sedia ada cukup menampung semua keperluan Kementerian Kesihatan.

“Tetapi, berdasarkan keadaan sekarang, bajet lebih besar diperlukan,” katanya yang menggesa pengauditan dilakukan untuk mengetahui berapa banyak syarikat kroni mengaut keuntungan dengan menaikkan harga.

“Malah, tidak patut ada kenaikan harga kerana pembekal hospital kerajaan boleh berunding untuk mendapat harga borong yang lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya sambil menambah bekalan berkuantiti besar juga akan menyebabkan harga lebih murah.

Sebanyak RM23.031 bilion diperuntukkan untuk kesihatan dalam Bajet 2016, kurang RM269 juta daripada peruntukan pada 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.