Badan peguam Islam mahu lebih kuasa untuk Mahkamah Syariah

Badan peguam Islam mahu lebih kuasa untuk Mahkamah Syariah

Presiden persatuan peguam berkata, kekangan timbul apabila kuasa menjatuhkan hukuman terlalu terhad.

zainulrijal_1
KUALA LUMPUR: Usaha mempertingkatkan kecekapan sistem Mahkamah Syariah akan berjalan seiring dengan langkah meningkatkan tahap hukuman sistem itu, kata Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

Presidennya Datuk Zainul Rijal berkata demikian ketika mengulas cadangan Amanah berhubung penambahbaikan sistem tersebut sebagai ‘lawan’ kepada usaha PAS meningkatkan tahap hukuman melalui Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Beliau berkata, cadangan Amanah itu sebenarnya sudah pun dilaksanakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri.

“Misalnya Jawatankuasa Kerja Arahan Amalan Mahkamah Syariah yang dianggotai ketua hakim negeri dan jabatan berkaitan untuk melicinkan proses mahkamah. Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah pula untuk menggarap modul agar perbicaraan dapat dipercepatkan,” katanya kepada FMT.

Namun katanya lagi, kekangan timbul apabila kuasa menjatuhkan hukuman Mahkamah Syariah terlalu terhad, iaitu denda tidak lebih RM5,000, penjara tidak lebih 3 tahun dan 6 sebatan.

“Misalnya bagi jenayah akidah, ada orang mengaku rasul, hakim terbaik pun hanya boleh jatuhkan denda RM5,000. Maka kedua-dua aspek (meningkatkan kecekapan dan hukuman) perlu berjalan seiring,” katanya lagi.

RUU 355 antara lain ingin memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 2A, yang menyebut “Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain daripada hukuman mati”.

Pada 5 Oktober lalu, Amanah membentangkan cadangan balasnya iaitu penubuhan jawatankuasa khas antaranya dianggotai ketua hakim syariah negeri dan pakar agama untuk menyelia langkah memperkasa sistem itu daripada aspek mutu, gaji hakim dan kakitangan, sokongan institusi dan menilai semula had serta keberkesanan hukuman.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia pula berkata peningkatan hukuman juga dapat meningkatkan tahap kecekapan Mahkamah Syariah.

“Hukuman kecil menyebabkan proses perbicaraan tidak berjalan. Misalnya bagi kesalahan khalwat, kebanyakan tertuduh tidak takut hukuman dan akan terus mengaku.

“Jika hukuman tinggi, perbicaraan akan berjalan. Penguat kuasa akan buat kerja betul-betul dan kumpul semua bukti dan barang kes. Akan ada sebab untuk menambah jumlah kakitangan yang pastinya akan meningkatkan kecekapan Mahkamah Syariah,” katanya lagi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.