‘Jangan buang masa polis dengan laporan gimik’

‘Jangan buang masa polis dengan laporan gimik’

Sebuah badan pemikir mahu pihak berkuasa bertindak ke atas mereka yang membuat laporan polis semata-mata bagi tujuan politik.

Ng-Yeen-Seen_polis
KUALA LUMPUR:
Pihak polis perlu bertindak tegas terhadap pihak yang menggunakan laporan polis demi kepentingan politik bagi menghentikannya daripada terus berleluasa.

Ia merupakan situasi yang membimbangkan memandangkan alasan bagi laporan yang dibuat kebanyakannya lebih bersifat remeh.

Menurut Naib Presiden CENBET, Ng Yeen Seen, pihak-pihak terbabit perlu sedar tugas hakiki polis adalah untuk mengesan penjenayah atau pencegahan jenayah yang memerlukan lebih komitmen.

“Pihak polis perlu bertindak terhadap mereka yang membuat laporan berdasarkan alasan remeh semata-mata bagi kepentingan politik. Mereka tidak sepatutnya dilayan seperti alat politik untuk menakut-nakutkan dan melemahkan lawan politik seseorang,” kata beliau.

Polis harus melihat kembali mana-mana laporan yang boleh dipersoalkan dengan mengecas mereka yang menggunakan laporan tersebut untuk tujuan politik.

“Ini akan menghantar mesej yang kuat kepada mereka agar mempertimbangkan gimik politik sedemikian pada masa depan. Ia juga akan membantu membebaskan sumber-sumber polis bagi menangani kes-kes bona fide,” menurutnya lagi.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab melibatkan polis ke dalam sandiwara politik juga adalah satu penghinaan kepada institusi awam dan juga kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kebelakangan ini, beberapa laporan polis menjadi kontroversi. Ini termasuk dakwaan sebuah NGO diresapi IS oleh Jamal Yunos dan keputusan kerajaan menganugerahkan pencen kepada pemenang pingat Olimpik negara.

Dan pastinya, Rani Kulup yang terkenal sebagai ‘raja lapor’ dengan beratus-ratus laporan polis di atas namanya. Terbaru, beliau meminta kerajaan mengharamkan permainan Pokemon Go di Malaysia.

Di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah membuat laporan polis berdasarkan maklumat palsu akan menerima hukuman penjara sehingga 6 bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.