
Ahmad Syukri Yusuf, 22, didakwa atas rogol statutori seorang gadis tahun lepas dan berdepan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan untuk kesalahan itu. Tetapi kemudiannya dia mengahwini mangsa – kini berusia 15 tahun – di bawah undang-undang Islam dan dakwaan itu digugurkan.
Mahkamah pada Julai menetapkan kes tidak perlu diteruskan selepas Ahmad Syukri menyerahkan sijil nikah.
Peguamnya Azam Trudin berkata mahkamah di Sarawak menetapkan tarikh perbicaraan semula pada 27 Mac tahun depan, dan menambah beliau akan memohon keputusan perbicaraan semula itu diterbalikkan.
“Saya akan serahkan permohonan untuk tarik balik pendakwaan itu. Perbicaraan semula itu perkara yang berulang-ulang (apa yang sudah dibicarakan),” kata Azam kepada Thomson Reuters Foundation, dan menambah beliau kurang pasti sama ada saksi baharu akan beri keterangan nanti.
Ahmad Syukri dan isteri hadir di mahkamah semasa perbicaraan, kata Azam.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik keputusan mahkamah mengugurkan kes itu, berhujah suspek rogol patut dilarang daripada mengahwini mangsa mereka dan perkahwinan kanak-kanak perlu diharamkan.
Di bawah undang-undang Malaysia, umur boleh nikah minimum adalah 18 tahun tetapi gadis Islam berusia 16 tahun boleh mendapatkan kebenaran untuk berkahwin daripada mahkamah syariah.
Bangsa Melayu, yang beragama Islam, membentuk kira-kira 60% daripada 30 juta rakyat di Malaysia.