
Semakan harga oleh Thomson Reuters mendapati harga stearin sawit bertapis, luntur dan ternyahbau (refined, bleached and deodorized) melonjak hampir 40% tahun ini. Stearin adalah lemak pejal yang terhasil apabila minyak sawit bertapis dipisahkan untuk menyari olein sawit, iaitu cecair yang digunakan untuk memasak dan bakeri.
Stearin lazimnya didagangkan pada harga diskaun berbanding minyak sawit mentah (CPO) tetapi pada Jun ia mengatasi aras harga minyak tropika itu. Harga setiap tan stearin pada Ogos melangkaui CPO sehingga AS$87 (RM360), yang terjarak sejak 2011.
Harga stearin pada Selasa mencecah AS$700 (RM2,897) setiap tan, berbanding harga AS$625 (RM2,587) setiap tan minyak sawit mentah ketika pasaran berehat pada tengah hari Rabu.
Pengusaha oleokimia berkata susah menjual harga stearin yang tinggi kepada pelanggan cerewet, menyebabkan margin lebih kecil.
Stearin sawit digunakan secara meluas di Malaysia untuk penghasilan jejalur sabun, bentuk sabun paling asas yang dibeli pengusaha untuk menghasilkan sabun berjenama sendiri.
“Permintaan suram ketika ini, pelanggan payah hendak membuat tempahan awal dan pembelian kebanyakannya mengikut keperluan,” menurut 1 pengusaha oleokimia tempatan.
“Kami juga terkesan. Kami tidak tempahan, kami juga tidak berani meningkatkan pengeluaran.”
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar selepas Indonesia, tetapi output susut tahun ini lantaran kesan cuaca El Nino, yang membawa bahang terik ke seluruh Asia Tenggara dan menjejaskan hasil tanaman.
Pengeluaran yang berkurangan menyebabkan bekalan minyak sawit untuk diproses juga berkurangan, menurut 3 pedagang dan 1 penghasil biodiesel, manakala syarat biodiesel Indonesia yang lebih tinggi bermaksud lebih banyak stearin sawit diperlukan sebagai suapan stok.
Indonesia menaikkan kandungan bio minimum minyak diesel kepada 20% tahun ini dan 30% pada 2020.
Pengerusi Gabungan Industri Minyak Nabati Indonesia Sahat Sinaga menyanggah dakwaan syarat biodiesel itu satu-satunya punca permintaan stearin sawit meningkat, “kerana penggunaan biodiesel di Indonesia bagi tahun ini tidak setinggi yang disasarkan.”
Beliau meramalkan penggunaan biodiesel di Indonesia tahun ini mencapai 1.8 juta kiloliter sahaja berbanding sasaran 5 juta kiloliter.
“Tetapi peningkatan harga stearin akan menjejaskan industri secara keseluruhan daripada segi harga keluaran akhir,” katanya.