
Beliau berkata, program biodiesel negara yang dilaksanakan sejak 2011 telah tergendala dalam usaha untuk menggunakan campuran biodiesel sawit yang lebih tinggi berikutan perbelanjaan modal (capex) dan kekangan infrastruktur.
“Pada 2019, Malaysia mewajibkan penggunaan B7 dalam sektor industri dan B10 bagi sektor logistik, tetapi kita masih belum beralih kepada B20 memandangkan ini memerlukan capex yang tinggi berjumlah RM580 juta,” katanya.
“Oleh itu, kita sedang mengkaji bagaimana untuk melaksanakannya, pihak yang patut menanggung subsidi, dan kita juga mahu melihat kesannya apabila ia menjadi B20. Bagaimana ia akan mempengaruhi harga diesel, semua itu perlu diteliti.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek perintis Biodiesel B30 di Akademi Golden Hope Guthrie di Pulau Carey hari ini.
Program hari ini menyaksikan SD Guthrie Bhd akan beralih sepenuhnya kepada penggunaan biodiesel B30 bagi semua jentera operasi dan kenderaan syarikat yang menggunakan diesel di ladangnya di Pulau Carey.
Biodiesel B30 iaitu campuran 30% biodiesel berasaskan sawit dan 70% diesel petroleum adalah bahan api yang lebih bersih dan mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 23% bagi setiap liter berbanding diesel konvensional.
Johari berkata, sekiranya penggunaan biodiesel dapat diperluas secara menyeluruh di seluruh negara, pelarasan harga terhadap komoditi itu dijangka dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas bagaimana ia mungkin menjejaskan subsidi bahan api bersasar, dan masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran mengenainya.
“Penggunaan biodiesel sawit memberi manfaat alam sekitar yang jelas. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan GHG berbanding diesel biasa, malah bebas sulfur,” katanya.