Presiden FIFA mahu 48 pasukan dalam Piala Dunia

Presiden FIFA mahu 48 pasukan dalam Piala Dunia

Infantino bagaimanapun menyerahkan keputusan muktamad kepada Majlis FIFA yang akan bermesyuarat pada Januari.

fifa
BOGOTA:
Presiden FIFA Gianni Infantino yang berjanji meluaskan pusingan akhir Piala Dunia dengan penyertaan 40 negara dalam pilihan raya kini mencadangkan kejohanan yang lebih besar melibatkan 48 pasukan.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan 16 pasukan akan pulang selepas satu perlawanan kalah mati dan selebihnya akan bermain seperti mana sekarang, dengan 32 pasukan kumpulan diikuti dengan fasa kalah mati.

Media Colombia melaporkan Infantino menyerahkan keputusan muktamad kepada Majlis FIFA yang akan bermesyuarat pada Januari.

Jurucakap FIFA mengesahkan laporan itu.

“Ini adalah idea untuk mencari penyelesaian yang terbaik dan perkara ini akan dibahasakan bulan ini. Kami akan memutuskan segala-galanya pada 2017

“Ia antara idea yang dibuat untuk menilai yang mana satu terbaik,” katanya dalam satu majlis di Universiti Sergio Arboleda Bogota.

Menurut Infantino, cadangan beliau menggunakan konsep kalah mati pada awal pusingan melibatkan 32 pasukan bermain di negara tuan rumah dengan 16 pasukan pemenang mencapai peringkat kumpulan. Selebih 16 pasukan pilihan akan mendapat ‘bye’ ke peringkat kumpulan.

“Ideanya adalah 16 pasukan akan layak terus ke peringkat kumpulan dan 32 yang lain akan bermain dalam fasa awal, di negara di mana Piala Dunia sedang diadakan- mereka akan bermain untuk baki 16 kedudukan,” katanya.

“Ini bermakna kita terus menuju ke Piala Dunia dengan 32 pasukan, tetapi 48 pasukan akan disambut.

“Idea FIFA adalah untuk membangunkan bola sepak di seluruh dunia dan Piala Dunia sebagai acara terbesarnya. Ia lebih daripada pertandingan, ia merupakan satu aktiviti sosial,” katanya.

Infantino dipilih sebagai Ketua FIFA pada 26 Februari menggantikan Sepp Blatter yang disekat selama 6 tahun selepas didapati melanggari etika.

Intipati utama platform pilihan raya Infantino adalah untuk meningkatkan penyertaan kejohanan kepada 40 pasukan, walaupun pengkritik melihat jumlah ini akan hanya menyebabkan kesukaran mencari format yang sesuai dan mudah.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata, kejohanan yang lebih besar akan “mencairkan” nilai sukan, manakala kelab-kelab Eropah menentang idea peningkatan bilangan pasukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.