48 jam kepada Jamal untuk minta maaf, atau ke mahkamah

48 jam kepada Jamal untuk minta maaf, atau ke mahkamah

Peguam mewakili Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menghantar surat tuntutan kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu hari ini.

maria-chin-jamal-yunos
PETALING JAYA:
Pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Jamal Md Yunos diberi masa 48 jam untuk minta maaf kepada Pengerusi Bersih 2.0, atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Berdasarkan kepada surat peguam yang dilihat FMT, Jamal dituntut supaya memohon maaf kepada Maria Chin Abdullah, dan menarik balik kenyataan yang mendakwa Bersih 5 merancang untuk mengepung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2, dan diresapi pengganas IS.

“Sekiranya kamu tidak mematuhi tuntutan itu dalam masa 48 jam mulai tarikh surat ini (4 Oktober), kami diarah oleh anak guam untuk memulakan tindakan undang-undang di mahkamah,” menurut surat itu, yang ditandatangani peguam Daim & Gamany, Melissa Sasidaran.

Jamal juga dituntut supaya membayar ganti rugi kerana mencemar nama baik dan reputasi Maria, dan berjanji secara bertulis untuk tidak menyiarkan kenyataan itu atau sepertinya di masa akan datang.

“Kenyataan itu adalah palsu, berniat jahat dan memfitnah. Selanjutnya, pernyataan fitnah itu bertujuan untuk merosakkan reputasi anak guam kami dan secara terang-terangan cuba mengelirukan orang ramai berhubung perkara yang menyentuh kepentingan negara,” menurut surat itu lagi.

Pada 28 September lalu, Jamal, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar menuduh Bersih diresapi pengganas, dan pada tunjuk perasaan 19 November depan merancang untuk mengepung lokasi strategik dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan.

Jamal turut menuduh Bersih mendapat khidmat nasihat perunding asing daripada Thailand dan Taiwan bagi menjayakan matlamat itu.

Menurut Jamal, pihaknya mendapat tahu mengenai perkara itu melalui sumber yang boleh dipercayai.

Hari ini, Jamal bersama 50 penyokongnya hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan bukti berdokumen mengenai dakwaan itu.

Jamal mendakwa Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli antara salah satu sumber dalamannya. Rafizi menafikan dakwaan itu.

PAUTAN:

Jamal Yunos tuduh Bersih diresapi IS

Sumber saya Rafizi, Jamal beri ‘bukti’ Bersih diresapi IS

Jamal ‘badut paling besar’ Umno, Rafizi nafi beri maklumat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.