
Dua kes disahkan mikrosefali itu yang pertama di Asia Tenggara berkaitan Zika, yang kini mula merebak di rantau ini selepas kemunculan wabak itu di Amerika.
Mikrosefali ialah kecacatan kelahiran menyebabkan kepala bayi menjadi kecil dan ia dikaitkan dengan virus Zika.
“Menteri kesihatan meminta kami mengkaji sama ada ujian itu perlu atau tidak dan ia membabitkan kos,” setiausaha Kementerian Kesihatan Sophon Mekthon, merujuk kepada ujian percuma terhadap semua wanita mengandung.
Kos untuk setiap ujian Zika ialah kira-kira RM237 tetapi biasanya ujian ulangan diperlukan.
“Pada masa ini, kami memeriksa wanita mengandung di kawasan terjejas Zika saja. Setakat ini, ujian dijalankan terhadap 1,000 wanita mengandung.”
Jangkitan Zika dalam kalangan wanita mengandung menunjukkan menjadi punca kepada mikrosefali – kecacatan kelahiran yang teruk menyebabkan kepala dan otak bayi menjadi kecil – selain keabnormalan lain terhadap otak.
Kaitan antara Zika dan mikrosefali kali pertama diketahui pada tahun lalu di Brazil, yang setakat ini mengesahkan lebih 1,800 kes mikrosefali.
Thailand mengesahkan 392 kes Zika sejak Januari, termasuk 39 wanita mengandung, dan Singapura merekodkan 393 kes Zika, termasuk 16 wanita mengandung.
Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) berkata orang ramai patut mempertimbangkan menangguh perjalanan ke Brunei, Myanmar, , Indonesia, Cambodia, Laos, Malaysia, Maldives, Filipina, Thailand, Timor Timur dan Vietnam.
CDC sudah mengeluarkan “notis perjalanan” ke Singapura.
Beberapa pakar kesihatan mendakwa Thailand yang bergantung pada industri pelancongan mengambil mudah risiko penyakit jangkitan nyamuk itu, tetapi pegawai Kementerian Kesihatan menolak dakwaan itu, berkata negara Asia Tenggara lain juga mungkin berdepan kes mikrosefali tetapi tidak mendedahkannya.
Pihak berkuasa kesihatan di rantau ini berkata mereka meningkatkan pemantauan, tetapi ujian masih tidak banyak dan pegawai berkata jumlah sebenar kes itu sebenarnya lebih tinggi berbanding jumlah yang disahkan.
Filipina, Malaysia, Vietnam dan Indonesia masing-masing mengesahkan sekurang-kurangnya 1 kes.
Tidak ada vaksin atau rawatan untuk Zika. Anggaran 80% mereka yang dijangkiti tidak mengalami sebarang simptom, menyebabkan sukar untuk wanita mengandung untuk tahu sama ada mereka terjangkit atau tidak.
Bagi orang dewasa, jangkitan Zika juga dikaitkan dengan sindrom neurologi yang jarang berlaku dikenali sebagai Guillain-Barre, selain gangguan neurologi lain.