Persatuan Automobil Malaysia berhutang RM4.5 juta

Persatuan Automobil Malaysia berhutang RM4.5 juta

Rancangan menjual bangunan pada harga RM7 juta tergendala di sidang mesyuarat agung tergempar

Wan-Zaharudin-Wan-Ahmad_aam_600
PETALING JAYA:
Persatuan Automobil Malaysia (AAM) perlu menjual bangunan miliknya di Laman Seri, Shah Alam supaya dapat melangsaikan hutang RM4.5 juta.

Dilaporkan pihak yang berminat sudah membayar deposit 10% untuk membeli bangunan itu pada harga RM7.5 juta.

Naib Pengerusi AAM Wan Zaharudin Wan Ahmad berkata aset itu dibeli pada 2008 dengan harga RM4.5 juta, lapor New Straits Times Online.

AAM dilaporkan tidak mampu membayar gaji kakitangan tepat pada masa serta masalah melangsaikan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Wan Zaharudin berkata sebab utama persatuan mengalami krisis kewangan ialah jumlah keahlian yang menurun ekoran persaingan sengit daripada syarikat insuran yang menawarkan perkhidmatan kenderaan tergendala pada kos lebih rendah.

Menurut laporan itu, Wan Zaharudin, Pengerusi AAM Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha dan pihak pengurusan dikritik ahli persatuan di mesyuarat agung tergempar yang bersidang untuk membincangkan penjualan bangunan itu.

Beberapa ahlinya tidak berpuas hati dengan pengurusan yang meneruskan penjualan bangunan itu tanpa mendapatkan persetujuan mereka.

Malah ada seruan undi tidak percaya dibuat terhadap pihak pengurusan, menurut laporan itu.

Ada dalam kalangan hadirin mahu suatu rancangan niaga melibatkan penstrukturan persatuan dan jalan keluar kepada masalah kewangan dibentangkan.

“Selepas mendengar kebimbangan ahli dan keperluan membentangkan suatu rancangan niaga, kami menangguhkan mesyuarat dan akan bersidang semula pada suatu tarikh dimana kami bentangkan rancangandan untuk kamu tentukan sama ada kita mahu teruskan atau tidak,” kata Tunku Mudzaffar sebelum mengakhiri mesyuarat itu, menurut laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.