Penyelidik gesa kerajaan laksana Akta Diskriminasi Bahasa

Penyelidik gesa kerajaan laksana Akta Diskriminasi Bahasa

Kerajaan perlu peka menangani isu bahasa yang secara tidak langsung mendiskriminasi bahasa sendiri.

bahasa-melayu
PETALING JAYA: Sudah tiba masa agar kerajaan melaksanakan Akta Diskriminasi Bahasa yang mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang melakukan diskriminasi terhadap bahasa dan kaum tertentu, kata seorang penyelidik di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata, ini jelas terbukti dengan situasi semasa di mana kebanyakan syarikat yang ingin mengambil pekerja cenderung memilih mereka yang fasih berbahasa Inggeris.

“Keadaan ini sebenarnya menyukarkan proses penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat. Kalau kita lihat iklan kerja kosong di laman web atau surat khabar, kita boleh lihat kebanyakan syarikat mahukan pekerja yang fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin.

“Kerajaan harus peka dan meneliti isu ini sebaik mungkin. Ia suatu masalah yang tidak sihat sekali gus menampakkan bahasa mendiskriminasikan bangsa sendiri,” katanya.

Beliau turut berpendapat cadangan pemansuhan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan rakyat negara ini mampu menguasai Bahasa Melayu bukanlah satu langkah bijak kerana ia hanya akan menyebabkan isu ini berlarutan tanpa penyelesaian.

Sebaliknya, beliau menggesa dasar pendidikan negara dibuat penambahbaikan.

“Cadangan sekolah satu aliran hanya akan menjadikan isu ini berpanjangan. Saya mencadangkan agar Kementerian Pendidikan memanjangkan tempoh pembelajaran subjek Bahasa Melayu.

“Mengapa malu berbahasa Melayu? Bahasa Melayu merupakan kekuatan negara ini. Masyarakat harus terima penggunaan bahasa ini mendominasi kemampuan dalam berbicara.

“Ia bagaikan pengikat rakyat Malaysia dan jambatan atau titian sosial kepada pengikat perpaduan masyarakat majmuk demi keamanan serta keharmonian negara,” katanya kepada FMT.

Justeru, beliau berasa pembelajaran Bahasa Melayu dalam tempoh yang cukup perlu dilakukan agar pelajar lebih menguasai manakala di peringkat sekolah menengah hingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi wajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Majoriti murid lepasan sekolah satu aliran khususnya Cina dan Tamil masih gagal menguasai Bahasa Melayu apabila ke sekolah menengah.

Ini kerana sekolah menerapkan teknik menghafal sekali gus menyukarkan mereka berinteraksi menggunakan Bahasa Melayu kerana peluang yang terhad.

“Sekolah satu aliran juga memperlihatkan kurang melahirkan murid cemerlang daripada segi akademik terutama mereka datang daripada latar belakang keluarga kelas sosial rendah dan luar bandar,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Johann Ashaary yang menetap hampir 16 tahun di beberapa buah negara, masalah tidak boleh menguasai bahasa Melayu dengan fasih boleh diatasi atas inisiatif sendiri.

“Saya akui agak sukar berinteraksi dalam Bahasa Melayu kerana mengikut bapa yang ditugaskan sebagai duta besar di beberapa negara.

“Saya pulang ke tanah air selepas berumur 16 tahun dan meneruskan pengajian di sebuah sekolah kerajaan di ibu kota. Pada awalnya memang agak kekok, namun semua masalah itu berjaya diatasi. Saya memperbaiki kemahiran berbahasa dengan banyak membaca akhbar dan menonton drama Melayu,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di tanah air tetapi tidak mampu bercakap dalam Bahasa Melayu sedangkan terdapat segelintir warga asing yang baru tinggal di Malaysia tetapi fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup persidangan perwakilan Umno bahagian Ipoh Barat, di Ipoh.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.