
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata ia selaras dengan dasar kerajaan yang turut digunapakai oleh agensi kerajaan yang lain.
“Sama seperti agensi kerajaan lain memang menjadi dasar DBKL menawarkan (projek) kepada syarikat Bumiputera.
“Sebanyak 90% (projek DBKL) diberikan kepada syarikat Bumiputera,” katanya kepada FMT.
Amin berkata demikian mengulas desakan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Wilayah Persekutuan supaya DBKL berlaku adil dan telus dalam pemilihan kontraktor.
Yang Dipertuanya, Ahmed Zaharani Yusof Omar mendesak DBKL memberi keutamaan kepada kontraktor Bumiputera yang beralamat dan beroperasi di ibu negara untuk melaksanakan projek di bawah seliaan DBKL.
Beliau turut mendakwa hanya 10% daripada kira-kira RM900 nilai keseluruhan projek dalam setahun diberi kepada golongan itu.
Mengulas lanjut, Amin berkata pihaknya mengakui memberi projek kepada bukan Bumiputera namun pemberian itu dibuat berdasarkan kepakaran yang tidak ada pada kontraktor Bumiputera.
“Untuk makluman, adalah amalan dan dasar kerajaan menawarkan kontrak kerja dan pembekalan kepada kontraktor Bumiputera kecuali bagi bidang-bidang yang memerlukan kepakaran (melibatkan bukan bumiputera),” katanya.
Pautan: