Ku Nan: Perniagaan atas talian paling murah, mudah tarik pelanggan

Ku Nan: Perniagaan atas talian paling murah, mudah tarik pelanggan

Tengku Adnan berkata, 94% penduduk Malaysia mengetahui sesuatu produk dan jenama melalui Facebook dan 62% daripadanya membuat pembelian selepas mengetahui produk serta jenama tersebut.

Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Generasi muda digalak menceburkan diri dalam perniagaan atas talian yang merupakan medium paling murah dan mudah, kerana Malaysia mempunyai 20.62 juta pengguna Internet aktif, kata menteri Wilayah Persekutuan.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Internet khasnya media sosial adalah peluang terbaik untuk mengembangkan perniagaan, memandangkan 18 juta penduduk negara ini aktif dalam media sosial, seperti Facebook.

“Seramai 94% penduduk Malaysia mengetahui sesuatu produk dan jenama melalui Facebook dan 62% daripadanya membuat pembelian selepas mengetahui produk dan jenama tersebut.

“Rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan 2 kali ganda untuk klik ‘Like’ sesuatu laman Facebook berbanding purata pengguna global,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Keusahawanan Enterwip 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Beliau yang pernah menjadi ahli perniagaan sebelum menceburi politik berkata, pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan kewujudan media sosial memberi kesan secara langsung kepada cara rakyat Malaysia bekerja, membeli-belah dan bersosial.

“Pada masa ini, 6.5 juta orang memiliki akaun Instagram dan Malaysia berada di kedudukan ke-10 dunia dari segi bilangan rakan media sosial, yang mana ia merupakan 60% lebih (banyak) daripada purata global.

“Pengguna Facebook di Malaysia merupakan pengguna aktif dan lebih banyak masa menonton video menggunakan telefon pintar berbanding pengguna lain di Asia Tenggara,” katanya sambil menambah Malaysia juga antara negara peneraju dalam penggunaan peranti mudah alih dengan kadar penembusan sebanyak 144%.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.