
Sheikh Omar Ali berkata beliau menerima maklumat daripada penduduk Kluang yang tidak senang dengan kewujudan premis judi itu.
“Apakah tindakan dan kompaun yang dikenakan tidak setimpal dalam memastikan pengusaha premis judi haram menghentikan aktiviti? Mengapa undang-undang gagal membendungnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk ‘Operasi Skyfall’ pada 14 September lalu yang melibatkan 50 penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang dan disertai agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah Kluang (PDK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Operasi itu berjaya menyita 18 unit mesin slot judi, dan premis judi dikenakan kompaun dan diarah menutup premis.
Beberapa hari kemudian, satu lagi operasi dijalankan di 5 pusat judi dengan 234 mesin slot berjaya disita.
Sheikh Omar yang juga penolong setiausaha publisiti DAP Johor itu berkata beliau bimbang wujudnya kelemahan ketika operasi sedang dilakukan, terutama apabila serbuan gagal menangkap individu penting di belakang kegiatan itu.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa MPK Raja Abu Bakar bin Raja Yahya berkata pihaknya hanya mengikut undang-undang sedia ada, terutama Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang hanya membenarkan pihak berkuasa tempatan menyita dan mengeluarkan kompaun.
“Selepas mereka membayar kompaun berjumlah RM3,000 barang yang disita akan dipulangkan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya atas arahan kerajaan negeri, MPK bersama agensi seperti PDRM, TNB dan PDK menubuhkan pasukan petugas khusus untuk menangani masalah itu.
“Ia bermula sejak 2 minggu lalu. Ketika serbuan, TNB dengan kebenaran polis terus memotong bekalan elektrik di pusat itu dan premis yang terlibat masih ditutup sehingga kini,” katanya.