
Adik kepada Norazlin Haron, Mohd Firdaus berkata, Takata – syarikat pengeluar beg udara untuk Honda melalui surat balas kepada peguam mereka bertarikh 19 Sept 2016 menafikan dakwaan kerosakan pada beg udara tersebut sebagai punca kematian.
“Takata dan Honda melalui surat balas kepada peguam kami menafikan segala dakwaan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Selain itu, beliau berkata Honda cuba menawarkan ‘duit raya’ RM5,000 kepada 2 anak mangsa, dan memintanya sebagai penjaga menandatangani satu surat yang menyatakan ia dibuat atas asas ‘ex-gratia’ (ehsan) dan bukannya ‘pengakuan kebertanggungjawaban’ (admission of liability).
“Kami bertemu Honda di pusat membeli-belah IOI, Puchong pada 16 Jul 2016. Mereka menawarkan ‘duit raya’ RM5,000 tetapi kami perlu tandatangan surat penerimaan,” katanya yang menolak tawaran tersebut kerana meragui niat Honda.
Pada 26 Jun lalu, ibu tunggal, Norazlin, 44, terkorban selepas terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah kereta Mercedez Benz dalam perjalanan dari rumahnya dari Sri Gombak ke Kota Damansara.
Siasatan polis mendapati letupan inflator beg udara sebagai punca kematian. Tiga penumpang, iaitu 2 anaknya berusia 9 dan 12 tahun dan anak saudara berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Honda berkata kereta mangsa termasuk dalam program pengembalian semula diumumkan pada 21 Mei 2015, bagi menggantikan inflator beg udara di ruang pemandu, namun keluarga mangsa mendakwa Honda menetapkan waktu temu janji untuk menukarnya hanya selepas Hari Raya, iaitu Julai lalu.
Honda ketika dihubungi FMT berhubung dakwaan tawaran wang dan penafian tanggungjawab enggan memberikan sebarang komen kerana “siasatan terhadap insiden itu masih berjalan”.
Semalam, Honda turut dilapor mengesahkan satu lagi kematian berpunca letupan inflator beg udara keretanya, melibatkan seorang pemandu Honda City yang terlibat dalam kemalangan di Johor pada 24 Sept lalu.
Terdahulu, Honda Malaysia mengumumkan panggilan semula produknya untuk menggantikan inflator beg udara yang bermasalah, melibatkan 147,894 kereta bagi 8 model keluarannya.
Pautan: