
Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tiada gunanya Jawatankuasa Khas itu ditubuhkan untuk menyiasat semua aspek kemalangan itu, jika orang ramai terlebih dahulu membuat kesimpulan mengenainya.
“Kalau kita buat satu andaian, tak guna kita tubuh (Jawatankuasa Khas). Kita dah buat keputusan dah apa sebenarnya yang berlaku. Mengapa ianya berlaku. Kita dukacita dengan apa yang berlaku, sebab itu kita menziarahi keluarga mereka semalam.
“Dalam masa 2, 3 hari ini jawatankuasa itu akan ditubuhkan dan penyiasatan akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2016 di Universiti Malaya, hari ini.
Kelmarin, penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anak bongsunya Nur Zulaikha, 4, maut akibat dilanggar go-kart semasa menyaksikan Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota.
Isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, 7, turut cedera dalam kejadian itu.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata, beliau hanya memberi amaran kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya tidak menganiaya peminjam dalam usaha mengutip semula hutang pinjaman.
“Saya kata jangan aniayai mereka. I didn’t say do not prosecute them.
“Kita minta akhbar dalam membuat terjemahan itu memahami konteks kebertanggungjawaban peminjam untuk melihat dasar negara ini dapat disokong dan ruang diberi kepada pelajar lain untuk belajar.
“Negara tak boleh maju jika rakyatnya tak bertanggungjawab,” katanya.
Pautan: