
Bagaimanapun, ia mula diperkatakan selepas laporan Sabtu lalu mengenai cadangannya mewujudkan logo “halal” kedua menjelang tahun depan, iaitu untuk mengenal pasti sesuatu produk itu keluaran syarikat milik umat Islam.
Ikiam dinaungi bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan ditubuhkan pada 2004 dengan matlamat meningkatkan tahap kerjasama NGO Islam seluruh dunia.
Dan antara pertubuhan yang mempunyai kerjasama dengannya termasuk kumpulan kontroversi Indonesia, Front Pembela Islam (FPI), pertubuhan Islam radikal yang terlibat dalam pelbagai insiden termasuk serangan ke atas pihak yang dianggapnya melanggar undang-undang syariah.
Cadangan Ikiam mewujudkan logo khas “halal buatan umat Islam” menimbulkan pelbagai tanda tanya, malah ada yang mengkritiknya kerana cuba mengambil alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), badan yang dipertanggungjawabkan mengeluarkan sijil dan logo halal.
Ada juga yang mempersoalkan langkah tersebut hanya mengundang polarisasi Islam dan bukan Islam dalam industri.
Cadangan itu dilapor turut mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Menariknya, kedua-dua pertubuhan itu dipengerusikan orang sama, Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang juga ketua Umno Padang Besar.
Bantu pengguna ‘teliti’
Ditemui FMT di pejabatanya, Zahidi mempertahankan cadangan itu dengan berkata ia bagi mengelakkan perasaan curiga (syubhah) di kalangan pengguna Islam.
Malah beliau berhujah, sesetengah umat Islam teliti dalam memastikan produk yang digunakan benar-benar halal dan “Islamik”, dan logo Ikiam dapat membantu mereka membuat pilihan.
“Ada kilang, pekerjanya mengambil wuduk dahulu sebelum memproses makanan, ada pula yang mandi wajib pun tidak,” katanya.
Beliau juga menafikan mahu melangkaui peranan Jakim.
“Ia hanya untuk membezakan produk halal keluaran orang Islam dan bukan Islam,” kata Zahidi.
Cadangan logo halal bagi “buatan umat Islam” itu disambut dingin persatuan pengguna dan pihak berkuasa agama, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, yang menganggap ia bukan sahaja mengelirukan tetapi juga mungkin menjurus keuntungan dengan menggunakan nama agama.
Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha pula berkata ia bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Perintah 2011 yang menyatakan hanya pihak berkuasa agama yang boleh mengeluarkan logo halal.
Bagaimanapun, Zahidi berkata logo baharunya hanya kepada pengusaha yang sudah diiktiraf halal oleh Jakim.
Beliau juga berkata Ikiam tidak akan mengenakan bayaran kepada syarikat pengeluar produk.
Peranan bekas duta ke Arab Saudi
Setiausaha Ikiam, Mohd Shamsuddin Damin berkata, inisiatif Ikiam terbahagi kepada 2 – syarikat milik orang Islam yang sudah memiliki logo halal daripada Jakim, dan yang belum mendapatkannya.
“Bagi yang sudah ada, boleh terus melalui penilaian bagi mendapatkan logo halal Ikiam dan selepas itu kami akan membantu dari segi pemasaran.
“Bagi yang belum, kami akan membantu memudahkan proses mereka mendapatkan logo dengan Jakim,” katanya.
Menurutnya, Ikiam akan mewujudkan panel audit halal diketuai bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Syed Mohamad Alsagoff.
Bagi Shamsuddin, tidak salah sekiranya logo “halal buatan umat Islam” meningkatkan polarisasi Islam dan bukan Islam dalam sektor industri.
“Ia adalah pembezaan pasaran (market differentiation) untuk kelebihan perniagaan. Pada masa ini, syarikat orang Islam yang berdaftar sebagai halal hanya 15% (daripada pasaran), selebihnya adalah syarikat bukan Islam. Kami ingin mengurangkan jurang ini,” katanya lagi.
Pautan: