Menjelang pembukaan empangan Murum, Sarawak digesa ikut trend negara maju

Menjelang pembukaan empangan Murum, Sarawak digesa ikut trend negara maju

Empangan besar ialah sesuatu yang lapuk dan membinasakan dan tidak lagi menjadi pilihan negara maju, kata kumpulan Save Rivers menjelang pembukaan Empangan Murum esok.

PETER-KALLANG_save-rivers_600
MIRI:
Menjelang perasmian Empangan Hidroelektrik Murum di Sarawak esok, sebuah kumpulan alam sekitar menyelar kerajaan negeri kerana terus meluluskan pembinaan empangan mega walaupun empangan tidak lagi menjadi pilihan kebanyakan negara kerana pelbagai kesan buruk kepada alam sekitar dan ekonomi.

Sebaliknya, Save Rivers menyeru Sarawak menumpukan usaha menggunakan tenaga alternatif yang lebih selamat sejajar dengan trend di negara lain termasuk Amerika Syarikat, di mana sejumlah 1,300 empangan dirobohkan antara tahun 1912 dan 2015.

“Empangan besar ialah sesuatu yang lapuk dan membinasakan. Sebab itu beribu-ribu empangan kini dirombak di negara maju.

“Mereka mengakui fakta mengenai keburukannya,” kata Pengerusi Save Rivers, Peter Kallang.

Empangan Murum, yang akan dilancarkan Yang Dipertua Tun Abdul Taib Mahmud di Belaga esok, merupakan projek tenaga hidroelektrik pertama di Sarawak, dan mampu membekalkan tenaga elektrik sehingga 944 megawatt.

Ia dibina di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi menjana kuasa untuk keperluan industri di Taman Perindstrian Samalaju.

Bagaimanapun, Kallang berkata banyak negara tidak lagi membina empangan bersaiz besar kerana mendapati keburukannya jauh lebih banyak.

Sarawak masih tidak menyedari pilihan lebih baik dan masih berdegil meneruskan konsep yang hanya mendatangkan musibah, kata Kallang.

Beliau memetik kajian Dr Atif Ansar dari Universiti Oxford yang merumuskan pembinaan empangan perlu diabaikan sesebuah negara.

Begitu juga, Kallang berkata Profesor Daniel Kammen dan Dr Rebekah Shirley dari Universiti California Berkley mendapati Sarawak masih mampu menghasilkan tenaga yang diperlukan tanpa empangan mega.

“Tenaga alternatif lebih fokus terhadap manusia, sedangkan empangan mega hanya menguntungan syarikat dan perniagaan besar.

Katanya, empangan di Sarawak hanya menekan penduduk miskin di mana kehidupan mereka kini “lebih teruk daripada sebelumnya”.

Empangan Murum, seperti juga di Bakun dan Baram, yang dimulakan di bawah pentadbiran Taib, mendapat tentangan kumpulan hak asasi dan penduduk Orang Asal Sarawak kerana pemusnahan alam sekitar dan rampasan tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.