Hadiahkan Lego, penuhi permintaan terakhir Danish

Hadiahkan Lego, penuhi permintaan terakhir Danish

Tiga rakyat Malaysia merayu orang ramai menghadiahkan Lego kepada kanak-kanak berusia 11 tahun yang menderita kanser tulang itu kerana dia terlalu lemah untuk ke Legoland di Johor.

Legoland-For-Danish
PETALING JAYA: Tersentuh dengan nasib seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menderita kanser tulang, 3 sahabat merayu kepada orang ramai menghadiahkan permainan Lego kepada Muhammad Danish Maarif, dengan secepat mungkin.

Koordinator projek “Legoland Untuk Danish”, Wan Shahriza Wan Ab Rahman berkata ibu Danish bercerita mengenai minat anaknya itu terhadap Lego dan impiannya untuk ke Legoland di Johor.

Bagaimanapun, doktor pada Jumaat lalu memberitahunya hospital tidak dapat berbuat apa-apa lagi untuk Danish kerana kansernya semakin merebak dengan agresif.

“Kemoterapi sudah dihentikan dan pembedahan yang dijadualkan sebelum ini, dibatalkan. Danish pada masa ini agak lemah dan dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat,” katanya dipetik oleh The Star Online daripada Facebooknya.

Bersemangat untuk menjadikan impian Danish satu kenyataan, Wan Shahriza menghubungi Mary Anne Isaac Ethan dan Maz Waheed, yang kini penganjur bersama projek itu, dan berkata:”Saya beritahu mereka jika kita tidak dapat membawanya ke Legoland, mari bawa Legoland kepadanya.”

Dalam posting di Facebook, Mary Anne memuji Danish kerana masih mampu tersenyum meskipun sedang bertarung dengan kanser tulang.

Katanya:”Jika anda rasa hidup ini sukar, sebelah kaki Danish dipotong, satu paru-parunya dibuang dan sebahagian lagi dikikis dan kini dia pulang ke rumah kerana sudah tiada apa lagi doktor boleh buat untuknya daripada segi perubatan.”

“Dia suka Lego dan pergi ke Legoland ialah salah satu impiannya – tetapi dia tidak kuat untuk ke sana.”

Melihat kepada keadaan kritikal kanak-kanak itu pada masa ini, 3 sahabat itu menetapkan tarikh akhir untuk memberi hadiah lego untuknya pada Khamis ini, 29 September.

“Mari kita berikan dia kegemarannya, Lego. Jika anda ada Lego yang mahu dikongsi untuk menggembirakan Danish, mari kita datang bersama, hadiahkan kepadanya benda yang dia suka,” kata Mary Anne.

Semua hadiah Lego boleh dihantar kepada Wan Shahriza Wan Ab Rahman, Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, Jalan Tok Sira 25050 Kuantan.

Wan Shahriza juga boleh dihubungi di talian 019-9323361 (WhatsApp saja).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.