‘Pakatan tiada Harapan’ di Sabah, kata pemerhati

‘Pakatan tiada Harapan’ di Sabah, kata pemerhati

Arnold Puyok menganggap pemimpin Pakatan Harapan gagal di Sabah kerana tiada visi untuk negeri itu.

arnold
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan di Sabah diberi jolokan “Pakatan tiada Harapan” oleh seorang pemerhati politik, susulan peletakan jawatan naib presiden PKR Darell Leiking semalam.

Prof Madya Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berkata pembangkang yang disertai PKR, DAP dan Amanah itu gagal melahirkan gabungan kuat untuk Sabah dan juga tidak mempunyai sebarang visi untuk negeri itu.

“Saya yakin lebih ramai akan meninggalkan (Pakatan Harapan) dan menubuhkan parti berpengkalan di Sabah yang baharu atau menyertai yang sedia wujud,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Leiking yang juga ahli Parlimen Penampang, mengumumkan keluar PKR dan mahu meneruskan perjuangan menentang Barisan Nasional (BN) menggunakan platform.

Menjelaskan keputusannya kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Leiking berkata beliau masih sokong prinsip parti itu, tetapi mahu menggunakan platform yang berpengkalan di Sabah bagi meneruskan perjuangan menentang BN.

Peletakan jawatan Leiking berlaku hampir serentak dengan permohonan bekas menteri dari Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal menubuhkan parti baharu. Kedua-dua mereka juga bertemu di Jabatan Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya semalam.

Arnold berkata pembangkang di Sabah tidak mempunyai sebarang dasar bersama bagi menyatupadukan pelbagai kumpulan politik di negeri itu.

Beliau berkata tindakan Leiking adalah disebabkan kekecewaan terhadap pimpinan PKR di peringkat negeri dan pusat.

“Seperti Shafie, beliau juga mungkin melihat kepentingan politik di sebalik sentimen tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.