
Professor Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya berkata sebarang campur tangan dalam pasaran akan hanya menyebabkan ketidakadilan.
Katanya, sekiranya benar peniaga Bumiputera masih ketinggalan, punca situasi itu perlu dikenal pasti.
“Kita perlu menentukan sama ada ia kerana faktor pasaran atau pemilik premis sengaja menafikan Bumiputera peluang membeli atau menyewa tapak,” Nazari memberitahu FMT.
“Sekiranya ia disebabkan faktor pasaran, dasar kuota tidak akan membuahkan hasil dan tidak adil terhadap pemilik dan pemaju premis perniagaan.”
Cadangan kuota itu diutarakan Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Izat Emir, yang mengadu peniaga Bumiputera menghadapi kesukaran mendapatkan premis.
Izat turut mendakwa peniaga Melayu lazimnya diberikan premis perniagaan yang tidak strategik seperti tingkat paling atas di pusat beli belah.
Bagaimanapun, Nazari berkata ia kemungkinan kerana peniaga Bumiputera tidak mampu menyewa premis berkenaan, atau gagal meyakinkan pemilik mengenai masa depan perniagaan mereka.
Menurutnya, sebarang sistem kuota akan hanya menjurus ketidakcekapan.
Professor Emeritus Mohamed Ghouse Nasuruddin dari Universiti Sains Malaysia pula mempersoalkan sama ada cadangan Izat disokong hasil kajian.
“Tidak boleh terus datang menuntut 30%,” Ghouse memberitahu FMT.
“Perlu ada kajian terlebih dahulu sama ada wujud keperluan itu.
“Adakah peniaga Bumiputera yang meminta? Cukupkah 30%? Atau perlu lebih?”
Menurutnya, dasar kuota tidak boleh diterima melainkan terdapat monopoli sesuatu kaum.
“Mana-mana dasar perlu berlaku adil kepada semua kaum,” katanya, dan menambah polisi seumpama itu hanya menguntungkan kumpulan elit Melayu.
“Bagaimana mahu memastikan hanya Bumiputera yang benar-benar layak menerimanya?” soal Ghouse.