Masih berpantang, Ratu Naga dibawa ke balai tengah malam

Masih berpantang, Ratu Naga dibawa ke balai tengah malam

Wanita yang lantang bersuara itu berkata polis memberitahu mereka terpaksa bertindak kerana sering mendapat pertanyaan Bukit Aman berhubung laporan polis terhadapnya.

ratu-naga-polis
PETALING JAYA:
Walaupun masih berpantang selepas melahirkan anak, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai “Ratu Naga” sekali lagi didatangi polis pada tengah malam semalam.

Pada 12.30 malam, 5 pegawai polis berpakaian biasa tiba di rumahnya untuk membawanya ke balai polis bagi tujuan siasatan.

“Saya kata macam mana saya hendak ikut ke balai polis kerana saya masih berpantang dan ada anak kecik di rumah yang masih menyusu badan.

“Dia (polis) kata kalau tak nak panjangkan cerita, bawa anak sekali ke balai. Tetapi saya kata mana boleh bawa anak tengah malam keluar,” kata Syarul kepada FMT.

“Mahu atau tidak, saya kena ikut.”

Sebelum ini, pada 2 Ogos, seramai 14 pegawai polis dari Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyerbu rumah Syarul ekoran laporan polis terhadap posting Facebook serta 3 akaun lain.

Dalam kejadian semalam, Syarul bersama dua abangnya, manakala suaminya tiada di rumah atas tuntutan kerja.

Katanya, sewaktu disoal siasat, polis memaklumkan Syarul dan beberapa pengguna Facebook lain disiasat ekoran memuat naik kiriman yang menghina dan boleh disabitkan bawah Akta Hasutan.

Ia dipercayai statusnya yang didakwa memuat naik gambar yang dikatakan dimanipulasi, menunjukkan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama Sultan Pahang.

“Saya kata mana ada saya hina Rosmah dengan Sultan Pahang. Tetapi ada page lain yang menghina Sultan Pahang.

“Polis samakan status saya dengan orang lain,” katanya yang menambah status lain di Facebook memang menghina tetapi bukan apa yang dimuatkannya.

Syarul berkata tindakan polis itu ekoran laporan polis berama-ramai terhadap dirinya dan pengguna Facebook lain.

Menurutnya, polis memberitahunya mereka terpaksa mengambil tindakan kerana “setiap hari Bukit Aman akan hubungi bertanyakan sudah tangkap ke belum”.

“Saya adalah satu-satu individu yang dia dapat tahan, yang lain semua dia tak dapat tahan sebab tak tahu siapa,” katanya.

Polis membebaskan Syarul pada 3 pagi semalam tetapi memintanya bersedia dipanggil lagi.

Pautan:

Ratu Naga disoal SKMM kerana komen Rosmah ‘manja, comel dan lucu’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.