Hina Islam? Orang agama bukan nabi, kata Zaid

Hina Islam? Orang agama bukan nabi, kata Zaid

Manusia berilmu agama sekali pun tidak boleh disama tarafkan dengan Allah, kata bekas menteri itu.

zaid
PETALING JAYA:
Mengkritik atau menghina pemimpin politik dan agama tidak sama dengan menghina Nabi Muhammad, kata bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mempersoalkan beberapa penangkapan atas alasan menghina Islam.

Begitu juga, Zaid berkata menghina pemimpin PAS atau mufti tidak akan membawa kekufuran.

Isnin lalu, bekas wartawan Sidek Kamiso ditangkap selepas dituduh “menghina Islam” kerana kiriman Twitter berkenaan kematian Datuk Dr Haron Din, mursyidul am PAS yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada 16 September.

Zaid mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menyerbu rumah Sidek pada 4.30 pagi dan memberikan layanan seolah-olah melawan militan IS.

Permohonan polis mendapatkan reman terhadap Sidek bagaimanapun ditolak Mahkamah Majistret Johor Bahru.

“Dia hanya hantar Twitter, bagaimana perkara itu boleh jadi begitu serius?

“Saya tidak tahu apa yang ditweet tetapi sesetengah orang dengan mudah melabel ‘menghina Islam’ sebagai satu kesalahan walaupun mereka sendiri tak tahu apa yang dimaksudkannya,” katanya.

Memberikan contoh, Zaid berkata sekiranya beliau membuat kenyataan biadap terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, ia tidak boleh dikategori sebagai kufur.

“Sesetengah orang mungkin mempunyai ilmu Islam yang tinggi dan kita tidak sepatutnya mempermainkan mereka kerana kedudukan terhormatnya itu, namun ia tidak bermakna mereka sama taraf dengan Allah. Menghina mereka tidak semestinya satu jenayah.

“Mereka (umat Islam) tidak seharusnnya menyimpul perbuatan mengejek pemimpin yang berserban sama dengan menghina Islam,” katanya sambil menambah ahli politik tidak ‘terkecuali daripada dihina walaupun selepas meninggal dunia.

Zaid turut menggesa polis supaya mengelak ditekan pihak yang sentiasa mencari jalan untuk menuntut penangkapan seseorang atau sesuatu perkara yang bercanggah dengan pendapat mereka, dan menambah Islam tidak memerlukan pembela seperti itu.

Beliau berharap Sidek mendapat perbicaraan adil dengan pertuduhan di bawah undang-undang yang betul dan kesnya tidak patut dibelenggu kemarahan dan keberangan penyokong PAS.

Pautan:

Polis beri ‘ceramah agama’, kata bekas wartawan dituduh hina Islam

Bekas wartawan ditahan, didakwa hina Islam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.