
Ini ekoran dominasi warga asing dalam sektor tersebut selain pertanian yang dilihat terlalu tinggi dan akhirnya memaksa kita terlalu bergantung kepada mereka.
Susulan itu, Pengerusi MEF Datuk Shamsuddin Bardan mencadangkan agar pelaksanaan sistem IBS yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun 1964 harus digunapakai untuk mengurangkan keperluan pekerja asing di tapak.
“Sistem ini membolehkan syarikat pembinaan mengurangkan tenaga buruh asing di samping meningkatkan produktiviti dan kualiti serta mengurangkan kos dan menjamin keselamatan di tapak pembinaan,” katanya kepada FMT.
Flat Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur dan Flat Rifle Range Road di Pulau Pinang antara projek pembinaan terawal menggunakan teknologi IBS.
Menerusi sistem IBS, komponen konkrit dipasang siap sama ada di tapak atau di luar tapak sekaligus mengurangkan penggunaan buruh.
“Sekiranya teknologi ini dipraktikkan secara serius, Malaysia mampu mengurangkan sekitar setengah daripada bilangan buruh asing pada masa akan datang,” katanya.
Buat masa ini, MEF melaporkan 1.1 juta buruh asing berada di dalam kedua-dua sektor dengan 70% dalam sektor binaan.
“Kebergantungan ini bakal memberi kesan negatif kepada semua sektor yang saling berkait kelak.
“Bagaimanapun, kesukaran mendapat pekerja tempatan dalam sektor tersebut tidak dinafikan memberi ruang kepada mereka untuk masuk ke negara ini sekaligus menjana pendapatan bersesuaian dengan kos hidup di sini,” katanya kepada FMT.
Oleh itu, Shamsuddin menggesa kerajaan segera melakukan transformasi antaranya dengan memodenkan infrastruktur kemudahan kedua-dua sektor agar menarik minat warga tempatan menceburinya.