Deklarasi Rakyat: Dr M mahu hantar petisyen kepada Majlis Raja-raja

Deklarasi Rakyat: Dr M mahu hantar petisyen kepada Majlis Raja-raja

Pelopor deklarasi mahu menyembah petisyen yang sama kepada Majlis Raja-raja, dan mahu menghadap Raja Melayu

kadir-jasin-1
PETALING JAYA:
Pelopor Deklarasi Rakyat yang dimulakan Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat menyembah petisyen kepada Majlis Raja-raja dan menghadap Raja Melayu yang perkenan menerima wakil mereka.

Petisyen itu memohon campurtangan Raja Melayu untuk menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan menyeru reformasi institusi kerajaan.

Langkah itu diumum penyokong Mahathir, A Kadir Jasin, bekas ketua editor New Straits Times Press, selepas satu mesyuarat di kediaman bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan hari ini.

“Usaha juga akan dibuat untuk menghadap mana-mana Raja Melayu yang sanggup berjumpa dengan wakil Deklarasi Rakyat,” kata Kadir dalam blognya.

Kadir berkata mesyuarat hari ini menyentuh kenyataan Majlis Raja-raja pada Oktober lepas menggesa kerajaan menangani isu berkenaan 1Malaysia Development Berhad.

Turut dirujuk kenyataan Majlis Raja-raja pada 17 Februari menyeru Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dikaji semula oleh Peguam Negara.

Kadir berkata penyokong Dr Mahathir berpendapat kerajaan mengingkari kehendak Majlis Raja-raja.

Mesyuarat Dr Mahathir dan pelopor deklarasi berlangsung tiga hari selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, Alor Star.

Dr Mahathir dilaporkan menyembah Deklarasi Rakyat, yang ditandatangani oleh 45 orang ternama pada Mac lepas, yang terdiri daripada penyokong Mahathir dan bekas ahli Umno, ahli politik pembangkang dan aktivis masyarakat. Pada Mei lepas Dr Mahathir mengumumkan sejumlah 1.4 juta tandatangan berjaya dipungut daripada orang ramai.

Namun, blogger Raja Petra Kamarudin semalam berkata Dr Mahathir menyerahkan deklarasi asal yang hanya mempunyai 45 tandatangan yang ditandatangani pada hari ia diumumkan.

Raja Petra ragui sama ada Dr Mahathir menyerahkan deklarasi bersama 1.4 juta tandatangan yang diuarkan.

“Apa jadi dengan baki 1.3 juta atau 1.4 juta tandatangan? Mengapa tidak disertakan bersama untuk diberi pada Agong?” soalnya. Beliau berkata Dr Mahathir hanya menyerahkan “sampul yang tidak mengandungi 1.4 juta tandatangan yang didakwa” yang akan menghasilkan dokumen “setebal ensiklopedia, barangkali beberapa jilid.”

Sebelum ini, kesahihan 1.4 juta tandatangan turut dipertikaikan selepas seorang pengatur cara komputer mengumumkan dia menjual data yang mengandungi maklumat peribadi 900,000 orang kepada penganjur deklarasi itu.

Raja Petra reka cerita, kata Khairuddin

Dr M hanya serah 45 tandatangan kepada Agong, kata Raja Petra

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.