
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Nasarudin Nasimuddin yang juga presiden Majlis Paralimpik Malaysia dalam satu kenyataan berkata syarikatnya akan menghadiahkan kereta Kia Sportage baharu kepada setiap pemenang pingat emas.
“Saya amat berbangga dengan atlet paralimpik Malaysia yang akan membawa pulang pingat emas mereka ke tanah air. Sebagai syarikat tempatan, Naza akan menghadiahkan atlet negara yang memenangi emas pada Paralimpik Rio.
“Atlet paralimpik kita sudah menunjukkan keberanian mereka. Inilah caranya kita tunjukkan Malaysia Boleh!,” katanya.
Pingat emas pertama diperolehi pelari pecut, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).
Ridzuan mencatat 12.07 saat, sekali gus memadamkan rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine, iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Twitter berkata: “Hari bersejarah untuk Malaysia. ‘Negaraku’ berkumandang buat pertama kali di #Rio2016. Kita bawa pulang bukan satu, tetapi dua emas! #Paralympics.
“Syabas Ridzuan Puzi dan @yardzolkefli yang turut catat rekod dunia. Seluruh negara berbangga dengan pencapaian anda! #Paralympics #KamiLuarBiasa,” katanya.
Pautan
Atlet Malaysia cipta sejarah menang 2 emas di Paralimpik Rio