Kutipan derma NGO mungkin didalangi IS untuk biaya aktiviti militan

Kutipan derma NGO mungkin didalangi IS untuk biaya aktiviti militan

Presiden Aswaja mencadangkan NGO perlu mendapat permit polis untuk menjalankan kutipan derma dan mengisytiharkan jumlah dana dikumpul kepada polis.

Datuk-Ayob-Khan-Mydin-PitchayISIS
KUALA LUMPUR:
Aktiviti kutipan derma dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) tidak diiktiraf yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, tidak mustahil didalangi kumpulan militan IS bagi menampung aktiviti mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pithcay berkata, dana yang dikumpul itu dipercayai digunakan untuk menyebarkan ideologi dan propaganda mereka, selain membiayai kegiatan IS di Syria.

“Kemungkinan dana yang dikumpul mereka (NGO yang tidak diketahui asal-usulnya) ada disalurkan di sana (Syria) dan ia perlu ditapis berikutan terdapat beberapa kes sedemikian sebelum ini.

“Mereka yang ingin mengutip derma untuk tujuan kemanusiaan perlulah berdaftar dan diiktiraf terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang kutipan derma,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia yang sememangnya ‘pemurah’ supaya memberi sumbangan atau derma mengikut saluran betul dan rasmi.

“Saya menyarankan rakyat negara ini memberi derma kepada NGO diiktiraf sahaja dan dinasihatkan tidak memberi derma kepada NGO yang tidak diketahui asal-usulnya,” katanya.

Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin mencadangkan NGO perlu mendapat permit daripada polis untuk menjalankan sebarang kutipan derma.

“Mereka perlu mendapatkan permit terdahulu daripada polis untuk meminta derma, jika tiada permit yang sah, kegiatan mereka tidak dibenarkan.

“Selepas dapat permit daripada polis, mereka perlu mengisytiharkan dana yang dikutip hasil derma kepada polis. Ini tidak, siapa-siapa sahaja boleh meminta derma tanpa diketahui asal-usulnya,” katanya.

Zamihan berkata, elemen meminta derma ini sudah menjadi trend yang boleh menimbulkan kegiatan militan IS.

“Kita tidak tahu siapa sebenarnya kutip derma itu kerana semuanya guna nama NGO, di mana ada yang daftar dan tidak daftar.

“Jika boleh, saya menyarankan kerajaan perlu mendapatkan audit daripada sesebuah NGO itu dalam masa enam bulan sekali, baru boleh lihat pergerakan dana itu,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah akaun rasmi seperti bank negara bagi NGO memasukkan hasil dana mereka.

“Akaun rasmi ini akan berfungsi sebagai tempat saluran rasmi untuk NGO yang berdaftar memasukkan dana mereka sebelum ia disalurkan untuk tujuan kemanusiaan.

“Ini untuk mengelakkan mana-mana NGO tidak berdaftar atau tidak diketahui latar belakangnya mengambil kesempatan dengan menyalah gunakan dana yang dikutip untuk disalurkan kepada kegiatan militan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.