Cadangan Noh belum dibawa ke Kabinet, kata TPM

Cadangan Noh belum dibawa ke Kabinet, kata TPM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Tan Sri Noh Omar perlu beri penjelasan cadangan lesen pinjaman wang bagi bantu pembeli rumah kepada jemaah menteri.

Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan Tan Sri Noh Omar agar pemaju memohon lesen pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet.

Timbalan perdana menteri berkata Noh yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu diminta memberikan penjelasan berkenaan cadangannya itu kepada menteri.

“Tidak dibincangkan dalam jemaah menteri dan kita minta beliau (Noh) memberikan penjelasan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-8 Parti Makkal Sakti Malaysia di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Noh mencadangkan pemaju memohon lesen pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank.

Katanya, kadar faedah pula akan dihadkan kepada maksimum 18% tanpa cagaran dan minimum 12% dengan cagaran.

Noh berkata, kerajaan membenarkan pemaju menyediakan pinjaman perumahan sehingga 100% untuk mengatasi kesukaran pembeli mendapatkan pinjaman bank dan ia terbuka kepada semua orang, termasuk pembeli rumah kedua.

Bagaimanapun, cadangan Noh itu ditentang ramai pihak antaranya bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Ng Seing Liong yang menyatakan pemaju perumahan lebih suka menggunakan wang yang ada untuk membina lebih banyak rumah, bukannya memberi pinjaman wang kepada pembeli rumah.

“Kami bukannya Ah Long. Tidak seperti bank, pemaju juga tidak dibenarkan mengambil deposit daripada pembeli,” katanya.

 

Pautan berita :

Pemaju bukan Ah Long, kata bekas presiden Rehda

Pemaju boleh beri pinjaman kepada pembeli rumah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.