Noh pertahan pinjaman pemaju rumah hanya alternatif

Noh pertahan pinjaman pemaju rumah hanya alternatif

Noh berkata cadangan adalah untuk membantu pembeli rumah di samping menggalakkan pemaju bekerjasama dengan kementerian untuk menyediakan perumahan mampu milik.

Noh Omar
PETALING JAYA: Cadangan membenarkan pemaju menyediakan pinjaman bertujuan memberi pilihan kepada pembeli, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Mempertahankan cadangannya walaupun menerima kritikan menteri dan bank, Noh Omar dalam posting di media sosialnya berkata, ia hanya alternatif jika pembeli tidak dapat kelulusan pinjaman dari bank.

“Jika mereka tidak dapat kelulusan pinjaman dari bank, mereka boleh berbuat demikian daripada pemaju. Terpulang kepada pembeli rumah untuk membuat keputusan. Pilihan adalah di tangan mereka dan ini hanyalah cadangan,” katanya.

Beliau berkata, bank menolak permohonan pinjaman daripada bakal pembeli rumah mampu milik yang dibina pemaju persendirian.

“Banyak rumah mampu milik yang dibina pemaju swasta. Sesetengah pembeli menerima tawaran untuk membeli rumah ini, tetapi mereka menghadapi masalah dengan bank,” katanya.

Oleh itu, cadangan beliau katanya, dengan harapan untuk membantu pembeli rumah di samping menggalakkan pemaju bekerjasama dengan kementerian untuk menyediakan perumahan mampu milik.

Pada Khamis lalu, Noh mencadangkan agar pemaju memohon lesen pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesuka­ran mendapatkan pin­jaman bank.

Kadar faedah pula akan dihadkan kepada maksimum 18% tanpa cagaran dan minimum 12% dengan cagaran.

Beliau mengesahkan kementerian akan menjalankan kajian menyeluruh berkenaan isu itu.

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani membatalkan cadangan yang juga dikritik oleh Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan dan Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak yang akui inisiatif itu akan mewujudkan risiko krisis hutang.

Menurut Johari, jika pembeli rumah tidak boleh mendapatkan pinjaman bank pada kadar faedah 4 hingga 6% maka mustahil untuk mengharapkan mereka mampu menghadapi dengan kadar faedah sehingga 18%.

Selain itu, beliau juga mempersoal keupayaan pemaju menyediakan pinjaman kepada pembeli memandangkan mereka sendiri mengambil pinjaman bank untuk membiayai projek-projek perumahan.

Pautan:

Kementerian Kewangan akan kaji cadangan Noh Omar

Pemaju boleh beri pinjaman kepada pembeli rumah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.