Nik Aziz kecewa, kecil hati dengan Husam

Nik Aziz kecewa, kecil hati dengan Husam

Adik kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata abangnya kecewa dengan Husam kerana beliau melakukan perkara yang tidak direstui bekas mursyidul am PAS itu.

husam-musa_nik-aziz_600
PETALING JAYA:
Nik Din Nik Mat, adik kepada Datuk Nik Abdul Aziz menepis dakwaan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa yang kononnya bekas menteri besar Kelantan itu akan mengikut jejak menyertai Amanah, jika beliau masih hidup.

Menerusi satu rakaman video, Nik Din berkata Nik Aziz pada penghujung hayatnya kecewa dengan Husam kerana beliau melakukan perkara yang tidak direstui bekas mursyidul am PAS itu.

“Masa dulu betul tok guru baik dengan dia (Husam) tetapi akhir-akhir ini tak baik dengan dia. Dalam satu pertemuan Husam datang jumpa tok guru sewaktu berkempen PRK Kajang, tok guru marah kepadanya.

“Waktu itu ada berlaku dua tiga kes yang menyebabkan tok guru marah pada Husam. Saya tahu kenapa tok guru marah tetapi saya tidak mahu pecah rahsia itu,” katanya dalam rakaman itu.

Nik Din berkata dakwaan Husam kononnya Nik Aziz akan bersama Amanah jika beliau masih hidup adalah pembohongan.

“Saya ini adik tok guru, saya bercakap bukan sebab nak mengangkat nama tetapi bercakap benda betul dan saya berani bersumpah.

“Kalau Husam kata tok guru sayang pada dia, tidak betul. Saya cakap ini supaya tuan-tuan jelas perkara sebenar jangan terikut-ikut dengan apa yang Husam lakukan. Kita lama dah bersama PAS tiba-tiba nak lari daripada perjuangan Islam,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan Husam supaya berhenti menjaja nama Nik Aziz dalam perjuangan politik bersama Amanah kerana bekas pemimpin PAS itu sudah meninggal dunia.

“Saya minta Husam jangan guna nama abang saya (Nik Aziz) untuk berkempen, saya tak izinkan dan semua adik-beradik, anak tok guru sendiri tak setuju Husam guna nama allahyarham,” katanya.

Husam sebelum ini mendakwa Nik Aziz akan bersamanya dalam perjuangan Amanah jika masih ada kerana PAS pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi lari daripada perjuangan sebenar.

Kenyataan Husam itu dikecam pemimpin PAS termasuk anak Nik Aziz sendiri, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh.

Nik Ahmad Mumtaz Nik Din, anak saudara Nik Aziz ketika dihubungi FMT mengesahkan rakaman video itu dibuat bertujuan memberi penjelasan sebenar sekali gus mengelak kekeliruan orang dengan penyertaan Husam dalam Amanah.

https://www.youtube.com/watch?v=SEGFWRW3IyU&app=desktop

Nik Abduh kecam Husam

www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/30/saya-serahkan-diri-untuk-perjuangan-amanah-kata-husam/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.