Wanita kongsi pengalaman layanan kurang ajar pegawai imigresen

Wanita kongsi pengalaman layanan kurang ajar pegawai imigresen

Gillian mengutuk komen pegawai yang jelas menunjukkan ketidakupayaannya memahami hubungan antara kaum dan cara berpakaian.

immigration_klia_new_600
PETALING JAYA:
Seorang wanita, Gillian Benjamin, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pegawai imigresen yang berkelakuan kasar terhadap dia dan ibunya yang berkerusi roda setibanya mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kejadian pada hari Selasa lalu, Gillian menerusi posting di laman sosial Facebook berkongsi pengalaman dia dilayan secara kurang ajar dengan mempersoal bangsanya.

Katanya, pegawai imigresen itu menjerit ke arah dia dan ibunya dari jauh meminta mereka supaya bergerak ke kaunter seterusnya.

Apabila rakan Gillian, Qhal mempersoal perbuatan itu, pegawai tersebut dikatakan menjerit kepada Qhal berkata: “Saya tak cakap kat kamu! Saya cakap kat dia orang!

“Awak kenapa? Sesat ke? Awak orang apa?”

Menjawab soalan pegawai, Qhal akui dia warga Malaysia dan menuding jari ke arah ibu Gilian sambil berkata “ini ibu kami”.

Pegawai itu pula membalas, “Mana saya tahu! Saya ingat orang Cina! Dia pun pakai macam tu, mana saya tahu?” dengan merujuk kepada pakaian baju singlet dan seluar pendek Gillian.

Ekoran itu Gillian mengutuk komen pegawai yang jelas menunjukkan ketidakupayaannya memahami hubungan antara kaum dan cara berpakaian, serta kaitan masyarakat Cina dengan mereka cara mereka dilayan.

“Apakah kaitan Cina dengan cara saya berpakaian? Apakah Cina mempunyai kaitan dengan cara anda menjerit pada OKU (orang kelainan upaya) dan warga emas?” tulis Gillian.

Keluhan Gillian menjadi viral di Facebook dengan lebih 2,000 perkongsian.

Bercakap kepada FMT, Gillian berharap postingnya akan menjadi pengajaran kepada semua orang supaya menghormati warga emas dan kurang upaya serta mereka yang berlainan kaum.

“Tidak ada sebab untuk menunjukkan kemarahan dan bertindak kasar terhadap sesiapa sahaja tidak kira siapa mereka, dari mana mereka datang atau bangsa dan agama mereka.

“Adalah salah untuk menggunakan kuasa terhadap seseorang, seperti dalam kes saya, ‘mengancam’ kami dengan meminta pegawai lelaki yang sedang memeriksa kami supaya mencatat nombor pasport, walaupun jelas kami tidak melanggar undang-undang.

“Pegawai Imigresen antara orang pertama pelawat atau warganegara bertemu sebaik memasuki Malaysia. Tidak boleh diterima jika anda dan ibu anda menerima layanan kurang ajar. Saya tidak pernah menghadapi layanan seperti ini sebelum ini.

“Saya bukan di sini mencari simpati atau mengungkit isu perkauman. Saya juga tidak mempunyai isu dengan kakitangan imigresen yang menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Sebab saya membuat kenyataan ini adalah kerana saya mahu diberikan keadilan, ” kata Gillian.

Tambahnya, dia juga belum menerima sebarang panggilan daripada jabatan imigresen atau pegawai yang terlibat.

“Saya berharap pegawai wanita itu akan memohon maaf kepada ibu saya, ayah saya, kakak dan saya sendiri saya terhadap tingkah laku yang tidak boleh diterima itu,” katanya.

Semalam Sinar Harian melapor, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sri Mustafar Ali mengesahkan kes itu sedang disiasat.

Sementara itu, dalam laman Facebook hari ini, Gillian mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong beliau dalam isu ini.

“Saya suka rakan-rakan Melayu saya, saya suka rakan-rakan Cina saya, saya suka kawan-kawan saya India, saya suka kawan orang luar dan tidak ada niat yang tidak baik.

“Saya hanya menulis kerana kata-kata yang digunakan terhadap kami,” tulisnya.

“Saya seorang Kadazan Serani, saya rakyat Malaysia! Saya seorang ahli sukan. Bangsa atau pakaian saya tidak kena-mengena dengan cara kami dilayan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.