
Pembikin filem, Norhayati Kaprawi berkata wacana itu nampak tidak menyebelahi wanita kerana ia hanya membenarkan lelaki, kecuali peguam dan aktivis Siti Kasim, untuk mengaju soalan berkenaan subjek yang dibincangkan.
Norhayati mendakwa dia juga mengangkat tangan pada pusingan kedua sesi soal jawab, tetapi tidak diendahkan moderator, Dr Yusri Mohamad daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
“Apa yang dapat saya perhatikan dalam wacana itu ianya hanya mengenai lelaki dan kuasa, bukan mengenai menegakkan keadilan, dan bukan mengenai mewujudkan masyarakat bermoral tinggi.
“Sayalah orang pertama yang angkat tangan tinggi-tinggi (pada pusingan kedua).
“Moderator nampak dan tengok saya angkat tangan, tapi dia toleh tempat lain dan bagi lelaki-lelaki yang bangun tanya.
“Padahal masa soal jawab pusingan pertama, lelaki pun dah banyak tanya dah,” katanya dalam catatan Facebook semalam.
“Jadi di wacana untuk lelaki itu, Siti seorang saja wanita yang dapat menyertai seluruh perbincangan itu.”
Beliau juga mendakwa duduk bersebelahan Siti, yang mencipta kontroversi kerana menunjukkan jari kepada kumpulan pengganggu di forum bertajuk ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti Dan Persepsi’.
Norhayati berkata moderator, yang sepatutnya mengawal keadaan, terlibat membenarkan pengganggu terjerit-jerit bila Siti bercakap di mikrofon.
Empat ahli politik lelaki, Setiausaha Agung PAS DAtuk Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ahli Parlimen Kepong Tan Seng Giaw dan Pengerusi Kumpulan Bertindak Perlaksanaan Dasar dan Undang-Undang Syariah MCA Gan Ping Sieu bercakap di wacana itu.
Norhayati berkata dia berniat untuk mengaju soalan kepada Takiyuddin dan Jamil Khir.
Menurutnya, dia mahu bertanyakan mengenai obsesi mereka menambah kuasa hukuman undang-undang syariah.
“Bukankah obsesi yang sepatutnya ialah bagaimana nak memastikan keadilan sistem kehakiman syariah dapat dilaksanakan dengan berkesan?
“Supaya setiap orang Islam faham apa itu keadilan dan betapa pentingnya keadilan itu terlaksana dengan baik dan berkesan?”
Beliau menambah kumpulan hak asasi manusia pernah mencadangkan pindaan keatas Akta Undang-Undang Keluarga Islam agar ianya lebih adil dan menjamin hak wanita beragama Islam.
“Namun, dah lebih 5 tahun agaknya – hingga kini terperap senyap begitu saja tanpa ada sebarang desakan daripada menteri agama atau agensi agama keagamaan kerajaan.
“PAS lagi lah tak boleh harap,” katanya.