
Ketika dihubungi hari ini, Pegawai Tadbir Agama Pejabat Hal Ehwal Agama Putatan, Zulfauzy Awang Besar berkata, siasatan hanya dapat dijalankan selepas dua murid terbabit yang masing-masing berumur 12 tahun, selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Pihak kami juga akan menemu bual saksi kejadian itu, termasuk murid yang merakamkan insiden tersebut,” katanya sambil menambah kejadian itu berlaku pada waktu rehat sekolah terbabit 30 Ogos lalu.
Klip video selama 28 saat itu yang dirakam menggunakan telefon bimbit, menunjukkan aksi seorang murid lelaki lengkap berpakaian baju sekolah agama membelasah mangsa dalam sebuah bilik darjah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Rosley Hobden mengesahkan tindakan ejek dipercayai adalah punca kejadian, tetapi siasatan akan dijalankan selepas selesai peperiksaan.
Bapa mangsa membuat laporan polis pagi semalam dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
“Kita sudah mengambil keterangan mangsa buli, pelaku dan murid-murid yang menyaksikan kejadian itu,” kata Rosley semalam.
Mangsa dilaporkan hanya mengalami cedera ringan dan sudah mendapat rawatan di hospital.
Pautan: