
Malah, Ketua Penerangan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali menyelar Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusuf Rawa sebagai tidak beradab kerana mempertikaikan Zulkifli.
“Adakah beliau terpaksa mengikut telunjuk rakan kerjasama politik (DAP) yang menyerang cadangan pindaan ini (RUU 355) daripada awal ia dibentangkan di Parlimen 26 Mei yang lalu?
“Sekiranya beliau tidak bersetuju dengan pandangan mufti tersebut boleh sahaja beliau berbahas memberikan pandangan dan hujah secara rasional dan bukannya dengan menyerang kedudukan dan kelayakan mufti untuk memberikan pandangan dalam perkara penting seumpama ini,” katanya.
Mujahid mempertikaikan kenyataan Zulkifli yang menganggap umat Islam wajib menyokong rang undang-undang yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016, membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat untuk beberapa kesalahan jenayah.
Pemimpin Amanah itu berkata RUU 355 masih belum diperincikan di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Zulkifli dalam lamannya menyatakan ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong, sambil menyenaraikan manakala yang bukan Islam perlu menyokong pindaan itu memandangkan ia membawa kebaikan.
Khairuddin turut menuduh Mujahid “dangkal” kerana mendakwa RUU itu belum diperdebatkan, kerana menurutnya ia sudah pun dikritik oleh bukan Islam walaupun tanpa perbahasan.
“Bagi seorang Muslim yang sayang agamanya tentunya memahami kewajipan memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah ini secara dasarnya yang menuntut mereka berbicara dan berkempen menyokong usaha ini sementelah pula seorang mufti yang mempunyai tanggungjawab menjelaskannya dari sudut kewajipan beragama,” katanya.
Sementara itu, jurucakap badan ulama Isma, Prof Aznan Hasan menuduh Mujahid memperlekeh pendirian Zulkifli, tetapi tidak pula menyerang mereka yang menolak Akta 355 sebelum ia dibentang di Parlimen.
“Sepatutnya beliau menjadikan saranan mufti tersebut sebagai landasan untuk beliau berhujah menyokong pindaan tersebut nanti apabila ia melalui proses legislatif yang berkaitan.
“Begitu juga, kelemahan di dalam perlaksanaan undang-undang Islam yang ada bukanlah alasan kukuh untuk menolak cadangan pindaan ini. Sebaliknya bersifat proaktiflah dengan memberikan cadangan-cadangan membina yang perlu dibuat untuk memperbaiki apa juga kelemahan yang ada,” katanya.
Pautan: