Konsul Malaysia didakwa perhambakan pembantu rumah Sri Lanka

Konsul Malaysia didakwa perhambakan pembantu rumah Sri Lanka

Tuntutan mendakwa pasangan terbabit melanggar undang-undang buruh dan melayan 'Mala' dengan buruk.

maid-slave3
NEW YORK:
Seorang konsul Malaysia dan pasangannya berdepan tindakan disaman kerana didakwa melayan pembantu rumah warga Sri Lanka dengan buruk.

Tuntutan mahkamah itu mendakwa Tamil Arasi Krishnan, dan suami Danish Kumar, melanggar undang-undang yang melindungi mangsa pemerdagangan manusia, lapor New York Post.

Jabatan Negara AS menyenaraikan Tamil Arasi sebagai seorang konsul di konsulat Malaysia.

Pasangan itu juga dituduh melanggar undang-undang buruh negeri dan persekutuan, dan didakwa menipu dan melanggar kontrak pengadu, Parimaladevi ‘Mala’ Jeganathan.

Peguam Mala, Anne Li berkata mereka melayan anak guamnya seperti hamba; kerja selama 15 jam sehari tanpa rehat dengan bayaran kurang daripada AS$1.71 (RM6.98) sejam — itu pun jika dibayar.

Memetik laporan New York Post, Mala dilarang meninggalkan pangsapuri mewah mereka di East 43rd Street dan digertak akan diserang ‘orang kulit hitam’ jika berbuat demikian.

“Jelas, pembantu rumah Sri Lanka ini dijadikan hamba mereka. Dia tidak dibenarkan keluar kecuali menemani keluarga itu ke gereja,” kata Anne.

Mala berkhidmat untuk pasangan itu pada 2013 di Malaysia, dan dibawa bersama ke AS pada Mac tahun sama menggunakan visa A-3 yang diberi saudara dan pekerja domestik diplomat.

Sepanjang berkhidmat untuk majikannya, Mala percaya dia dipantau penjaga pintu pangsapuri dan pengawal keselamatan konsulat.

“Dia takut keluar dari bangunan itu,” sebut tuntutan mahkamah.

Pada awal tahun 2014, Tamil Arasi didakwa memberitahu visa Mala akan tamat dan terlalu mahal untuk perbaharuinya.

Justeru, Tamil Arasi mendesak Parimaladevi bekerja dengannya untuk 3¹/₂ tahun lagi ataupun dihantar pulang ke Sri Lanka yang sedang dilanda perang.

“Dia takut. . . dan bimbang demi keluarganya,” kata Anne.

Pasangan itu juga menyebabkan Mala percaya tiada harapan untuk dirinya.

Mala bagaimanapun berjaya menghubungi Biro Siasatan Persekutuan (FBI), yang membawanya keluar daripada pangsapuri itu pada 6 Mac 2014.

Sebelum meninggalkan kediaman itu, Mala menggesa Tamil Arasi periksa begnya supaya dia tidak dituduh mencuri.

Menurut peguam, Mala kini menetap di ‘rumah perlindungan kebajikan’ di bandar yang sama.

“Dia boleh berbahasa Inggeris. Dia seorang yang manis dan pintar. Dia berminat untuk menyambung pengajian,” kata Anne.

Tambahnya, buat masa ini tiada dakwaan jenayah difailkan terhadap pasangan yang kini berada di Malaysia.

New York Post tidak dapat hubungi mereka untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.