Firma terlibat besi kren jatuh tarik diri daripada projek terowong PP

Firma terlibat besi kren jatuh tarik diri daripada projek terowong PP

Lim berkata, penarikan diri BUCG tidak akan menjejaskan projek itu kerana rakan kongsi utama ialah CRCC.

guan-eng
GEORGE TOWN:
Syarikat pembinaan yang terbabit dalam insiden besi penyangkut kren menghempap pemandu kereta di ibu negara, bulan lalu, menarik diri daripada projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika membuat pengumaman itu berkata, Beijing Urban Construction Group (BUCG) (M) Sdn Bhd memohon untuk menarik diri daripada menjadi rakan kongsi Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd.

Susulan penarikan diri pemegang saham paling kecil itu, konsortium berkenaan kini terdiri daripada Zenith Construction Sdn Bhd dan China Railway Construction Corporation Limited (CRCC).

Tindakan itu sejajar amaran Lim kepada BUCG untuk berambus dari Pulau Pinang, jika gagal memberi sebarang penjelasan kepada keluarga mangsa dan masyarakat.

“Perubahan itu tidak akan menjejaskan projek berkenaan. Walaupun nama diubah, ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak mahu kontrator tidak bertanggungjawab menjadi sebahagian daripada projek terowong dasar laut, jadi kami benarkan BUCG tarik diri daripada konsortium itu,” kata Setiausaha Agung DAP itu pada sidang media di Komtar hari ini.

Pengerusi konsortium itu, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dalam sepucuk surat kepada kerajaan negeri pada awal bulan ini menyatakan, BUCG dikeluarkan demi kepentingan dan reputasi konsortium, ekoran insiden kren di ibu negara itu.

“Kami sudah menyerahkan beberapa nama lain kepada Suruhanjaya Syarikat untuk penukaran nama, susulan penarikan BUCG,” katanya dalam surat kepada pejabat setiausaha kerajaan negeri.

Pada 2013, konsortium itu memenangi tender terbuka untuk membina terowong dasar laut menghubungkan George Town dan Butterworth serta tiga projek jalan raya utama bernilai RM6.3 bilion.

Dalam kejadian jam 7.20 malam 25 Ogos lalu, Chin Khoon Sing maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan, selepas dihempap serpihan besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel dalam pembinaan, bersebelahan pusat beli-belah Pavilion.

Pautan:

Pulau Pinang ugut tolak kontrak syarikat di sebalik insiden kren di KL

Pemandu wanita maut dihempap besi kren 1,000kg dekat Pavilion KL

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.