Ditumbuk bertubi-tubi, klip video duta Sri Lanka diserang di KLIA

Ditumbuk bertubi-tubi, klip video duta Sri Lanka diserang di KLIA

Selepas dibelasah, dua anggota dipercayai polis bantuan lapangan tiba cuba memujuk kumpulan itu beredar, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.

Ibrahim-Sahib-Ansar
PETALING JAYA:
Sebuah klip video serangan ke atas Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia menunjukkan sekumpulan orang membelasah Ibrahim Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Ahad lalu.

Klip itu turut dimuat naik beberapa media utama Sri Lanka.

Kejadian itu berlaku susulan beberapa protes dianjurkan kumpulan yang membantah kehadiran bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, yang dituduh melakukan jenayah perang ke atas penduduk Tamil di negara itu.

Klip video itu menunjukkan Ibrahim ditendang dan dipukul bertubi-tubi di bahagian kepala oleh sekurang-kurangnya 6 orang.

Selepas dibelasah, dua anggota berpakaian seragam dipercayai polis bantuan KLIA tiba cuba memujuk kumpulan itu beredar, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.

Ibrahim juga dilihat cuba mencari barang miliknya yang hilang ketika serangan, dipercayai telefon bimbitnya yang turut dirampas kumpulan itu.

Semalam, Sri Lanka memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara itu bagi menyatakan kekecewaannya dan menuntut pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan kepada pegawai diplomatiknya di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan dikeluarkan setiausaha Kementerian Hal Ehwal Luar Sri Lanka, pihak berkuasa Malaysia juga disaran memastikan pengawal peribadi bagi dutanya di samping kawalan keselamatan di kediamannya, bangunan kedutaan dan sebuah kuil Buddha yang turut menjadi sasaran kumpulan yang membantah kehadiran Rajapaksa.

Wisma Putra semalam menjamin insiden itu akan disiasat.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala
Lumpur untuk memastikan insiden seumpama itu tidak berulang di masa hadapan,” katanya.

Setakat ini, 5 suspek serangan itu ditahan manakala polis masih memburu 4 lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata itu mereka berumur di antara 27 dan 56 tahun dan diberkas di Dengkil, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur awal pagi semalam.

Jumaat lalu, perhimpunan membantah kehadiran Rajapaksa pada Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertukar menjadi kecoh selepas penunjuk perasaan mengugut menyerbu majlis.

Ia disusuli protest di hadapan sebuah kuil Buddha di Sentul, di mana ketua saminya turut mnejadi sasaran serangan.

Rajapaksa, yang menjawat presiden selama 10 tahun, dituduh melakukan jenayah perang ke atas penduduk Tamil di negara yang pernah bergolak selama berdekad itu.

https://www.facebook.com/Informationsdnbhd/videos/1205606789490754/

Pautan:

Duta Sri Lanka diserang di KLIA

Bantah kehadiran pemimpin Sri Lanka, protes bertukar kecoh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.