
Peguamnya N Surendran berkata isu yang ditimbulkan samada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan undang-undang itu sebagai melanggar Perlembagaan atau sebaliknya.
“Dalam perbicaraan itu telah timbul isu tafsiran perlembagaan dan oleh itu hujahan selanjutnya akan berlangsung pada 14 Oktober ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta MKN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Bekas ketua pembangkang itu memfailkan tuntutan untuk mengisyitharkan Akta MKN melanggar Perlembagaan pada 2 Ogos lepas.
Beliau juga memohon pengisytiharan Perkara 66 (4) dan 66 4(A) yang membenarkan penguatkuasaan undang-undang itu tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak sah serta terbatal, dan memohon injunksi menyekat MKN mengambil tindakan di bawah Akta MKN sehingga tuntutan mahkamah itu selesai.
Menurut Surendran, Hakim Hanipah Farikullah mengarahkan Anwar selaku plaintif dan kerajaan Malaysia dan MKN selaku defenden mengemukakan hujahan bertulis untuk membantu mahkamah, selepas mendengar hujahan kedua peguam di dalam kamar.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjit Singh ketika ditemui berkata mahkamah tinggi tidak ada kuasa untuk mendengar permohonan Anwar.
“Sebab permohonan ini mempersoalkan kuasa Parlimen untuk buat undang-undang. Permohonan ini hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Tampil di mahkamah hari ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa hadir kerana berminat dengan isu berkaitan keselamatan negara.
Kehadiran seteru penggerak gerakan reformasi itu menggamit perhatian media dan media sosial, yang riuh dengan perbualan mengenai kerjasama politik dan permohonan maaf antara mereka berdua.
Mahathir sempat bertemu Anwar sebelum mahkamah bersidang dan mereka kelihatan berpelukan seketika dan bersalaman. Mereka beransur ke bilik saksi selama 30 minit.
Menurut pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu, pertemuan mereka sekadar membincangkan Akta MKN.
“Saya berminat dengan kes ini kerana ia membabitkan keselamatan negara dan sudah ditulis di dalam blog saya.
“Saya tidak berdamai dengannya (Anwar),” katanya menepis spekulasi di media sosial.
Hadir sama isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga, dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan PKR.
Pautan: