
Beliau berkata BN menyedari hakikat itu tetapi tidak mahu mengakui kegiatan itu tumpas lantaran proses pilihan kerajaan negeri yang ketat.
Guan Eng berkata tiada rasuah membabitkan kerajaan negeri, hanya orang yang diperdaya penipu.
“BN tidak mahu menyebut bahawa pihak yang didakwa membayar “duit kopi” tidak berjaya diluluskan rumah kos sederhana rendah oleh kerajaan negeri kerana mereka tidak layak.
“Ini membuktikan prosedur kerajaan Pulau Pinang berkesan untuk memastikan hanya yang layak akan berjaya mendapat rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Minggu lepas, dua video yang mengaitkan seorang pesara, Lim Keat Seong, 68, kepada sogokan untuk rumah mampu milik tersebar di alam maya.
Keat Seong didakwa meminta dan menerima rasuah untuk memintas sistem perumahan mampu milik kerajaan negeri.
Dia ditahan untuk tempoh seminggu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak minggu lepas.
Kebetulan, anak Keat Seong adalah Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim. Beliau menafikan pembabitan dan menjarakkan diri daripada bapanya.
Sementara itu, Guan Eng berkata BN menggunakan kes itu tunuk menyerang kerajaan negeri dan DAP untuk mengalihkan perhatian daripada salahlaku perikatan itu.
Beliau berkata rakyat Malaysia tidak mudah terpedaya dengan pembohongan BN, terutamanya apabila mendakwa lebih bersih daripada blok pembangkang.
“Ini bukan macam kes “lembu dan kondo” Ketua Wanita UMNO kerana akhirnya suami beliau dapat kontrak ternak lembu ratusan juta, yang menyebabkan kerugian puluhan juta kepada rakyat.
“Di sini pihak yang mendakwa membayar duit kopi kepada ayah Lim Siew Khim tidak pula dapat rumah.
“Pembayar duit kopi harus buat laporan polis ke atas mereka yang buat penipuan,” kata Guan Eng.
PAUTAN: