
Beliau berkata projek yang diterajui Khazanah Nasional Berhad itu bakal mengubah kawasan hutan terbiar seluas 26.7 hektar di belakang Tugu Negara menjadi taman rimba kota dengan pelbagai kemudahan.
Katanya, fasa pertama projek itu dijangka siap pada 2018 dengan salah satu komponen utamanya ialah melibatkan pemuliharaan hampir 1,000 pokok hutan hujan serta penanaman 5,000 pokok baharu.
“Jika di London ada Hyde Park, di New York ada Central Park, di Kuala Lumpur kita ada Taman Tugu. Tidak mustahil taman ini bakal menarik pengunjung dari seluruh dunia seperti taman bertaraf antarabangsa lain.
“Kerajaan membuka peluang kepada orang ramai untuk menyampaikan idea bernas bagi pembangunan projek ini khususnya mengenai aktiviti, makanan dan minuman yang ditawarkan termasuk nama untuk taman hutan hujan bandar raya ini,” katanya ketika berucap merasmikan Taman Tugu di sini hari ini.
Najib berkata Taman Tugu itu akan menyediakan kemudahan bertaraf dunia di beberapa zon khusus alam sekitar, rekreasi dan pembelajaran termasuk pusat informasi hutan hujan, tapak perkhemahan, titian silara dan kawasan permainan air.
“Projek yang diterajui Khazanah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bukan berasaskan keuntungan.
“Ini episod baru dalam mentransformasikan Tugu Negara Malaysia supaya ia dilihat bukan hanya sekadar simbol perjuangan.
“Kita harus kekalkan warisan ini, jadikan Kuala Lumpur sebagai bukan bandar ekonomi tetapi sebuah bandar bersifat bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sementara itu beliau sempat berseloroh dan berkata kedai Nasi Lemak Tanglin yang terletak berhampiran kawasan projek itu harus kekal dipelihara.
“Sejak kecil saya peminat Nasi Lemak Tanglin. Masih segar dalam ingatan, saya berbasikal seorang diri tanpa ada pengiring ketika itu kerana IS tidak wujud ketika itu.
“Harga nasi lemak ketika itu hanya sekitar 30 sen. Harapan saya agar kedai berkenaan dikekalkan di situ,” katanya.
Tugu Negara dibina pada 8 Februari 1966 sebagai tanda penghormatan kepada lebih 11,000 parajurit yang gugur ketika Perang Dunia Pertama (1914) hingga zaman Darurat (1960) dan ia terletak berhampiran bangunan Parlimen.