Mendulang emas di tanah Sultan Johor, 3 lelaki ditahan

Mendulang emas di tanah Sultan Johor, 3 lelaki ditahan

Ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira 11.50 pagi dalam satu serbuan di lokasi kejadian.

najimuddin
JOHOR BAHRU:
Tiga lelaki ditahan polis kerana didapati menceroboh dan mendulang emas di tanah persendirian milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim almarhum Sultan Iskandar di Jemaluang, Mersing, pagi semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira 11.50 pagi dalam satu serbuan di lokasi kejadian.

Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk mendulang emas seperti pam air, kuali, cangkul, penyodok, baldi dan lain-lain peralatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Polis memandang berat kesalahan ini dan menasihati orang ramai agar tidak melakukan kegiatan pencerobohan serta aktiviti mendulang emas secara haram kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pendulang serta mencemar alam sekitar,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.