Kecoh protes anti Rajapaksa, baling botol, bergelut dengan FRU

Kecoh protes anti Rajapaksa, baling botol, bergelut dengan FRU

Peserta bantahan itu turut berbaring di jalan raya secara berkumpulan, menghalang laluan trafik di PWTC menyebabkan pemandu berang dan membunyikan hon.

Mahinda Rajapaksa
KUALA LUMPUR:
Peserta bantahan mengganggu perjalanan trafik jalan raya dan bergelut dengan polis perusuh pada hari kedua demonstrasi membantah kehadiran bekas presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa di satu persidangan antarabangsa di sini.

Rajapaksa berada di ibu kota untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putera.

Masyarakat Tamil Malaysia menuduh Rajapaksa terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai 100,000 orang ketika perang saudara 26 tahun di Sri Lanta antara masyarakat majoriti Sinhalese dan komuniti Jaffna Tamil.

Protes hari ini diketuai Persatuan India Progresif Malaysia yang mengumpulkan kira-kira 50 penyokong di luar PWTC.

Setiausaha agung kumpulan itu, S. Barathidasan mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanggungjawab atas hal ehwal Parlimen, menjadi penganjur persidangan itu.

“Kami mahu Shahidan keluar. Dia penganjurnya dan mereka berjanji kepada kita Rajapaksa akan keluar dari negara ini semalam. Sebaliknya, kami dapat tahu Rajapaksa masih bebas ke sana sini dengan polis tempatan melindunginya,” katanya.

Kumpulan itu melaung-laungkan “Shahidan keluar!” dan Barathidasan menuduh menteri itu pengecut.

“Shahidan takut kah? Kenapa dia bekerjasama dengan pembunuh beramai-ramai? Shahidah patut malu!”

Beliau berkata Malaysia tidak sepatutnya ada hubungan diplomatik dengan Sri Lanka, sama seperti tiada hubungan dengan Israel atas isu Palestin.

Pergelutan kecil turut berlaku antara peserta bantahan dengan polis selepas ada yang membaling botol ke arah Pasukan Simpanan Persekutuan, hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila orang ramai melimpah hingga ke jalan raya.

Exco Pemuda Umno Armand Azha Hanifah dilihat bercakap dengan beberapa ahli kumpulan itu, termasuk Barathidasan dan beberapa wakil lain, mendesak mereka bersurai.

“Kami sudah menunaikan janji dengan membatalkan ucapan Rajapaksa di ICAPP, jadi kenapa anda tidak berpegang kepada janji?

“Ini bukan pilihan kami untuk menjemput Rajapaksa ke sini kerana kami bukan ahli jawatankuasa ICAPP, kami hanya tuan rumah,” katanya.

Bagaimanapun, peserta bantahan itu tetap berdegil dan kemudian berbaring di jalan raya secara berkumpulan, menghalang laluan trafik, menyebabkan pemandu berang dan membunyikan hon. Kemudian, 3 patung dibakar di jalan raya, sama seperti yang dibakar semalam.

Kumpulan itu bersurai tidak lama kemudian. Mereka berarak menuju kuil Buddha di Sentul untuk meneruskan bantahan, susulan khabar angin mengatakan Rajapaksa akan melawat kuil itu.

A Elangovan daripada Persatuan Perubahan Pendidikan India Malaysia mendesak kuil Buddha di Malaysia memaklumkan kumpulan itu jika Rajapaksa bercadang melawat kuil mereka.

Semalam, protes sama diadakan di PWTC yang turut disertai ahli politik daripada MIC, DAP dan PKR.

Pautan:

Bantah kehadiran pemimpin Sri Lanka, protes bertukar kecoh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.