
Beliau yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno berkata mereka yang menggunakan peperangan politik untuk mendapatkan ‘ghanimah’ (harta rampasan perang) hanya akan membawa kehancuran kepada parti.
“Dalam peperangan politik, apa diperlukan setelah menang ialah ghanimah yakni pulangan politik. Jika ghanimah tidak diperoleh dalam peperangan, maka pengikut akan melakukan protes senyap yang boleh menyebabkan organisasi rosak.
“Apabila kepentingan peribadi jadi keutamaan dan organisasi politik jadi pentas untuk ghanimah dicapai, tunggulah ketikanya kehancuran datang tanpa dihancurkan dari luar, (sebaliknya) kita yang izinkan kehancuran berlaku dari dalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Umno bahagian itu Datuk Ariffin Man.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli Umno, parti berusia 70 tahun itu bukanlah bursa saham yang boleh diperdagang untuk mengaut keuntungan, sebaliknya ia institusi sosial untuk orang Melayu serta tulang belakang Barisan Nasional memperjuang kepentingan masyarakat majmuk.
Zahid mahu semua ahli Umno mengetepikan soal pesimistik tetapi memikirkan kaedah mencari pemimpin berkualiti yang bukannya naik kerana politik wang.
“Kita ingin pemimpin yang ada kepimpinan, autentik dan asli serta tidak utamakan kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau turut meluluskan peruntukan bagi membina sebuah dewan serbaguna di Pokok Sena serta RM2 juta untuk projek kecil di daerah itu.