Syarikat gergasi kecantikan tumpu pasaran halal

Syarikat gergasi kecantikan tumpu pasaran halal

Unilever, Beiersdorf dan L'Oreal mengubah strategi pemasaran bagi membekalkan permintaan pasaran negara majoriti penduduk Islam di Indonesia

indonesia_kacantik
JAKARTA:
Syarikat pengeluar produk kecantikan dan penjagaan badan di Indonesia kini menumpu kepada produk halal sebagai sebahagian daripada usaha menampung pasaran luas penduduk Islamnya.

Unilever, Beiersdorf dan L’Oreal adalah antara syarikat multinasional yang mengubah strategi pemasaran bagi membekalkan permintaan pasaran negara majoriti penduduk Islam terbesar di dunia.

Ia juga selari dengan pertumbuhan penduduk Islam di dunia yang mencapai kira-kira 1/4 daripada penduduk global, lebih daripada 1.5 bilion orang di seluruh dunia.

Syarikat ini percaya permintaan bagi produk halal dan sasaran terhadap isu tertentu seperti rambut bertudung berkembang dengan pertumbuhan kelas menengah Islam.

Turut diambil kira potensi Indonesia dalam mempengaruhi negara lain seperti Malaysia di mana produk halal keluaran tempatan atau syarikat kecil dan khusus turut didapati laris.

Syarikat Jerman, BASF yang menjual bahan untuk kelengkapan peribadi mempunyai 145 daripada produknya yang disahkan halal.

Perunding Deloitte Tohmatsu menganggarkan pasaran kosmetik halal membentuk 11% daripada pasaran halal global bernilai lebih daripada AS$1 trilion pada 2015.

Firma penyelidikan pasaran TechNavio pula mendapati jualan produk penjagaan diri halal meningkat 14% setiap tahun sehingga 2019, mengatasi pasaran lain yang lebih luas.

Syarikat kosmetik gergasi Perancis, L’Oreal mempunyai sebuah kilang yang disahkan halal di Indonesia membekalkan produk untuk pasaran tempatan dan negara jiran di Asia Tenggara.

Kebanyakan produknya di bawah jenama Garnier daripada pencuci muka, krim pencerah kulit, semuanya disahkan halal, kata seorang jurucakap.

Industri penjagaan diri sudah lama bergantung kepada bahan dari tumbuhan justeru mengenakan halal sering memberi kesan kepada pengeluaran lebih daripada rumusan itu sendiri.

Bagaimanapun, pensijilan halal boleh menjadi satu proses yang merumitkan, contohnya, pembuat krim kulit di Indonesia yang menggunakan bahan dari seluruh dunia perlu membuktikan sumber mempunyai pensijilan ia dibuat dengan cara yang halal.

Menariknya, sebuah syarikat Malaysia, DagangHalal tampil mengendalikan laman web bagi membendung kerumitan itu dengan mewujudkan pangkalan data sijil halal dalam talian.

Sehingga Februari, 38 daripada lebih 120 badan pensijilan di seluruh dunia sudahpun mendaftar.

Pengurus Besar Schwan-Stabilo Cosmetics, Joerg Karas akui pensijilan halal akan menjadi satu keperluan di negara lain pada masa akan datang tetapi buat masa ini tawaran L’Oreal dan Procter & Gamble mencukupi.

Unilever yang memiliki 5 daripada 10 jenama kecantikan dan penjagaan diri Indonesia, berkata kesemua 9 kilangnya sudah memenuhi piawaian halal.

Alan Jope, yang mengendalikan sektor perniagaan penjagaan diri Unilever dari Singapura, memberitahu Reuters kos pensijilan sudah tidak lagi menjadi isu.

Tambahnya 1/3 daripada 20 pasaran utama bagi perniagaan berbilion dolar Unilever adalah dari negara yang mempunyai penduduk Islam yang besar, dari India ke Nigeria.

Oleh itu, pihaknya akan menumpu kepada strategi memenuhi keperluan mereka.

Demi itu, Unilever memperkenalkan produk yang sesuai dengan sasaran, misalnya pelembap badan gel dengan serapan pantas dan ubat gigi dengan kesan berpanjangan pada bulan Ramadan.

Pesaingnya, Henkel menjual syampu untuk rambut bertudung, tetapi Jope berkata industri ini perlu meningkatkan pengiklanan seperti menampilkan lebih ramai wanita dalam hijab.

“Kita perlu berusaha untuk mencerminkan nilai-nilai Islam dalam komunikasi jenama, itu yang penting sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.